'Terlalu cepat' longgarkan sekatan COVID-19 punca kes naik di AS, kata penasihat pandemik
'Terlalu cepat' longgarkan sekatan COVID-19 punca kes naik di AS, kata penasihat pandemik.
Orang ramai di Florida, salah satu wilayah Amerika yang melaksanakan peraturan tidak ketat COVID-19. (Gambar: AFP/JOE RAEDLE)
WASHINGTON: Jumlah kes jangkitan baru COVID-19 yang mendatar di Amerika Syarikat kebelakangan ini mungkin dikaitkan dengan langkah "terlalu awal" untuk melonggarkan langkah mengekang virus.
Demikian menurut penasihat utama pandemik, Anthony Fauci pada Ahad (28 Mac).
Walaupun kemunculan varian-varian COVID-19 adalah sebahagian daripada masalah yang dihadapi, begitu juga dengan negeri-negeri yang "menarik balik sekatan" terlalu awal, kata beliau semasa diwawancara dalam rancangan Face the Nation di CBS.
Apabila jumlah kes mula mendatar, kata beliau, "anda dalam bahaya jumlah kes bakal melonjak tinggi".
"Kita sudah menyaksikannya di negara kita sendiri dan itulah yang berlaku di beberapa negara dalam Kesatuan Eropah, yang mana jumlah kes mereka mendatar dan kemudian mula naik lagi."
Presiden Joe Biden ditanya oleh para wartawan pada Ahad mengenai pandangannya tentang jumlah kes terbaru.
"Berdasarkan apa yang saya dengar seperti orang ramai leka, tetapi saya akan mengadakan mesyuarat dengan pasukan kami esok dan saya akan mendapat gambara lebih jelas," kata beliau.
Selepas lonjakan kes semasa musim luruh dan musim sejuk di Amerika mencecah ratusan ribu kes baru sehari, jumlah jangkitan kini mencatat hampir 50,000 sehari.
Amerika Syarikat dibelenggu jumlah kes tertinggi iaitu 549,000 kematian sejak pandemik ini bermula namun ia kini sudah mempergiat kempen vaksinasinya.
Dr Fauci juga memberi amaran bahawa perjalanan sepanjang cuti Easter nanti boleh mencetuskan penularan baru sepertimana cuti hujung tahun lalu.
"Meskipun penumpang dalam pesawat memakai pelitup, apabila anda berada di lapanagan terbang, beratur untuk masuk, untuk membeli makan di restoran, menaiki pesawat...tanpa dapat dielakkan, ini meningkatkan risiko dijangkiti," tegas beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.