Skip to main content

Dunia

'Terlalu banyak birokrasi': Netizen debat kemungkinan iPhone 16 tidak dijual di Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: iPhone 16 yang baru dilancarkan oleh gergasi teknologi Apple mungkin diharamkan daripada pasaran Indonesia, mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen negara itu.

Pada Selasa (8 Okt), Menteri Perindustrian Agus Gumiwang Kartasasmita mengesahkan bahawa penjualan telefon bimbit tersebut tidak dibenarkan di negara itu sehingga syarikat itu memenuhi komitmen pelaburannya memperbaharui syarat-syarat sijil kandungan tempatan atau TKDN.

"iPhone16 Apple tidak boleh dijual di Indonesia buat masa ini memandangkan pelanjutan sijil TKDN masih belum selesai, menunggu pelaburan lanjut direalisasikan oleh Apple," kata Encik Agus kepada media tempatan semasa acara yang diadakan di Hotel Kempinski di Jakarta pada 8 Oktober.

Beliau menambah Apple sebelum ini menerima sijil TKDN, sekaligus membolehkan produk-produknya dijual di Indonesia. Sekalipun demikian, sijil itu sudah luput dan mesti diperbaharui, menurut Jakarta Globe.

TKDN merujuk kepada mutu komponen domestik pada barangan atau khidmat. Untuk memperoleh sijil itu, produk-produk Apple mesti memenuhi syarat nilai Paras Komponen Domestik sekurang-kurangnya 40 peratus.

Encik Agus menambah komitmen pelaburan syarikat itu di Indonesia juga tidak mencapai paras tertentu.

"Realisasi pelaburan Apple hanya mencecah 1.48 trilion rupiah (S$123.70 juta), kurang daripada komitmen pelaburan 1.71 trilion rupiah," kata Encik Agus, seperti yang dipetik oleh media tempatan Tempo.

Berita itu menerima reaksi bercampur-campur daripada netizen tempatan. Meski sebahagian daripada mereka menyokong keputusan tersebut, dengan menekankan pentingnya untuk sesebuah syarikat memenuhi syarat-syarat tempatan, sebahagian yang lain mengkritiknya.

"Terlalu banyak birokrasi untuk dipatuhi, Apple tidak akan rugi kalau tidak melabur di Indonesia. Lebih baik melabur di negara lain yang minimum rasuah," kata pengguna X @7dosabesarr pada 10 Oktober.

"Lebih murah untuk beli di luar negara," kata seorang lagi pengguna X @pak_anggoro pada 9 Oktober.

"Keuntungan bagi Apple Singapura," menurut seorang lagi pengguna X @kerberooz pada 10 Oktober.

Menurut Bloomberg Technoz, cawangan-cawangan Apple di negara-negara jiran seperti Malaysia dan Singapura sering menjadi destinasi pilihan untuk penggemar Apple rakyat Indonesia yang mahu segera membeli peranti mereka.
 
Cawangan Apple di Orchard Road, Singapura. (Gambar: iStock)
Kiraan oleh Bloomberg Technoz juga menunjukkan bahawa dengan cukai dan yuran pendaftaran Identiti Peralatan Mudah Alih Antarabangsa (IMEI), kos keseluruhan untuk membawa pulang iPhone paling murah dari Singapura atau Malaysia boleh mencecah sehingga 18 juta rupiah (S$1,499).

Iphone 16 paling murah berharga sekitar S$1,299 di Singapura, menurut Apple. Pembeli dari Indonesia perlu membayar tambahan yuran AS$155 (S$200) untuk mengimport iPhone ke negara mereka.

Terdapat juga Netizen tempatan yang menyokong peraturan sedia ada untuk Apple tidak masuk pasaran Indonesia.

"Apple perlu mematuhi undang-undang Indonesia untuk terus menjual produknya di sini, jika ia tidak mahu, ia harus disekat," menurut seorang pengguna YouTube @anasanasrsas797, menerusi ruangan komen bagi video mengenai kemungkinan larangan tersebut yang dimuat naik oleh CNBC Indonesia pada 8 Oktober.

Seorang lagi pengguna YouTube, @ahmadzacky9724, berkata: "Undang-undang perlu diperketat supaya produk asing tidak boleh dengan mudah masuk Indonesia."

Jika Apple memenuhi komitmen pelaburannya, pemerintah Indonesia akan membolehkan iPhone yang dinanti-nantikan itu dijual, termasuk produk-produk terbaharu Apple yang lain.

Telefon bimbit itu secara rasmi dilancarkan pada 20 September.

"Ini semua berdasarkan keadilan untuk para pelabur yang menunjukkan komitmen tinggi untuk melabur dalam pasaran Indonesia," jelas Encik Agus.

Di bawah peraturan Kementerian Perindustrian Indonesia yang menggariskan syarat-syarat dan prosedur bagi mengira nilai kandungan tempatan bagi peranti elektronik, Apple boleh memenuhi syarat TKDN menerusi tiga skim.

Pertama, skim pengilangan tempatan, yang bermakna produk-produknya perlu dihasilkan dalam negara. Kedua, skim aplikasi tempatan, yang melibatkan penciptaan aplikasi secara domestik dan yang ketiga, skim pembangunan inovasi, yang tertumpu kepada penciptaan produk-produk inovatif dalam negara.

Encik Agus menarik perhatian bahawa Apple memilih skim pembangunan inovatif untuk memperoleh syarat sijil TKDN, menurut Jakarta Globe.
CEO Apple Tim Cook semasa lawatan ke Jakarta pada April 2024. (Gambar: AFP/Bay Ismoyo)
Sebagai sebahagian daripada komitment kepada inovasi tempatan, Apple sudah menubuhkan tiga akademi Apple di Tangerang, Sidoarjo dan Batam.

Semasa lawatan CEO Tim Cook ke Indonesia pada April tahun ini, syarikat itu juga mengumumkan perancangan untuk membuka Akademi Apple keempat di Bali.
 
Sumber : Agensi berita/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita