Terlalu awal untuk putuskan Omicron bawa penyakit teruk, kata pakar AS
Masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada varian Omicron akan membawa kepada penyakit yang teruk, namun maklumat awal dari Afrika Selatan menunjukkan varian baru COVID-19 itu tidak menyebabkan gejala luar biasa, menurut pakar penyakit berjangkit AS, Anthony Fauci pada Selasa (30 Nov).
Encik Anthony Fauci. (Gambar: AFP)
WASHINGTON: Masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada varian Omicron akan membawa kepada penyakit yang teruk, namun maklumat awal dari Afrika Selatan menunjukkan varian baru COVID-19 itu tidak menyebabkan gejala luar biasa, menurut pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat, Anthony Fauci pada Selasa (30 Nov).
Menurut Dr Fauci, terdapat 226 kes Omicron yang disahkan di 20 negara setakat pagi Selasa namun varian baru koronavirus itu masih belum dikesan di Amerika Syarikat.
Kebimbangan terhadap varian itu menjejas pasaran kewangan dan mencetuskan keprihatinan tentang kekuatan ekonomi global untuk bangkit semula sedang dunia terus memerangi pandemik koronavirus.
"Sangat sukar untuk mengetahui sama ada varian ini akan mengakibatkan penyakit yang teruk ataupun tidak," kata Dr Fauci semasa menyampaikan taklimat kepada para wartawan. "Meskipun sesetengah maklumat awal dari Afrika Selatan membayangkan tiada gejala luar biasa ... kami belum pasti dan masih terlalu awal untuk menentukannya."
Presiden Joe Biden dan pentadbirannya sudah berkali-kali menggesa warga Amerika supaya memanfaatkan vaksin dan suntikan dos penggalak, namun keraguan terhadap vaksin oleh sebilangan penduduk Amerika menghambat usaha untuk mengekang penularan lanjut virus itu. Sekitar 69 peratus rakyat Amerika yang berusia 12 tahun dan ke atas sudah divaksin sepenuhnya.
Presiden Biden, yang popularitinya terjejas di tengah-tengah kekecewaan pandemik itu tidak dapat dikawal, pada Isnin menggesa rakyat Amerika supaya jangan berasa cemas terhadap varian baru itu.
"Untuk mengatasi pandemik ini, kita juga perlu memvaksin seluruh dunia," kata Presiden Biden.
Apabila ditanya pada Selasa sama ada Amerika Syarikat sudah mengambil langkah secukupnya untuk memvaksin seluruh dunia, Dr Fauci berkata bahawa Amerika Syarikat sudah berusaha lebih daripada negara-negara lain.
"'Secukupnya' adalah perkataan yang sukar. Adakah kita sudah mengorak langkah? Kita sedang mengambil langkah yang sangat besar," tegasnya.
Menurut Dr Fauci, memastikan vaksin sampai ke penduduk di negara-negara di selatan Afrika serta negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana terbukti sukar secara logistik dan banyak dos yang dihantar akhirnya tidak digunakan.
"Negara-negara Afrika lain... sebenarnya telah memberitahu kami untuk tidak menghantar vaksin lagi kerana mereka tidak dapat menggunakannya dengan sebaiknya," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.