Terlalu awal untuk nilai keupayaan Jokowi bawa Rusia, Ukraine berbincang - Pengamat politik
(Gambar: AFP)
Pengamat politik, Prof Ahmad Marthada Mohamad, bagaimanapun mengakui Kumpulan 20 atau G20 yang dipengerusikan Encik Jokowi mempunyai pengaruh yang besar dalam memastikan ekonomi dunia tidak terkesan dengan krisis Rusia-Ukraine, lapor Astro AWANI.
"Pembentukan G20 itu berdasarkan kepada pengaruh ekonomi dan sudah tentulah isu berkait ekonomi akan dibincangkan dengan panjang lebar dalam sidang G20 selepas ini. Dalam rangka itulah Encik Jokowi akan mainkan peranan untuk membawa negara yang terlibat krisis ini ke meja persidangan.
"Apakah beliau sebagai pengerusi G20 boleh bawa pembaharuan dalam mengetengahkan dua pihak itu ke meja persidangan? Bagi saya ia mungkin terlalu awal dan terlalu sukar untuk kita nyatakan bahawa Encik Jokowi ada keupayaan untuk bawa kedua-dua pihak berbincang.
"Namun sebagai pihak gabungan negara, G20 mempunyai pengaruh dalam ekonomi dunia. Jadi G20 ada peranan besar dalam memastikan bahawa keadaan ekonomi dunia tidak akan dipengaruhi krisis Rusia-Ukraine, sebab kita tahu Ukraine dan Rusia adalah pengeluar gandum yang terbesar.
"Jadi sudah tentu pertikaian ini akan memberi kesan kepada kekurangan makanan," kata beliau kepada Astro AWANI pada Isnin (27 Jun).
Sebelum ini, Encik Jokowi dilaporkan akan terbang ke Rusia untuk bertemu Presiden Vladimir Putin dengan membawa misi gencatan senjata dengan Ukraine.
Dalam pada itu, Prof Ahmad Marthada juga melihat tindakan berpihak kepada sesebuah negara akan memburukkan lagi keadaan dalam krisis Rusia-Ukraine.
Dalam masa sama, katanya langkah sekatan import ke atas Rusia lebih banyak memberi impak negatif kepada negara yang menyokong.
"Sebagai contoh, Indonesia pada satu ketika, mereka cuba berpihak kepada Ukraine, namun apabila Ukraine meminta bantuan ketenteraan, kewangan, maka Indonesia menolak.
"Jadi, walaupun kita lihat walaupun ada negara yang cuba berpihak kepada satu-satu negara, ia sebenarnya akan memburukkan lagi keadaan.
"Sekutu utama Rusia ialah China, dan sekutu utama Ukraine ialah Amerika. Rusia, China dan Amerika adalah negara yang sangat berpengaruh dalam ekonomi dan politik dunia.
"Sebab itu mana-mana negara yang cuba berpihak kepada satu-satu negara terutama dalam beri sokongan atau sekatan, maka ia akan beri kesan lebih buruk," ujarnya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.