Skip to main content

Dunia

"Terima kasih kerana mengheret kami," kata Dr Ahmad Zahid Hamidi

Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak sesekali pun membenarkan tuduhan dan tekanan terhadapnya mematahkan semangat beliau.

Anggaran Waktu Membaca:
"Terima kasih kerana mengheret kami," kata Dr Ahmad Zahid Hamidi

Encik Najib Razak bersama Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: @zahid_hamidi/Instagram)

Diterbitkan : 25 Oct 2018 11:21PM Dikemas Kini : 25 Oct 2018 11:28PM

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak sesekali pun membenarkan tuduhan dan tekanan terhadapnya mematahkan semangat beliau.

Dalam catatan terbaru yang dimuatnaikkan ke laman Twitternya, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu berkata beliau dan mantan Perdana Menteri Najib Razak akan terus istiqamah dalam perjuangan di sebalik tekanan bertubi-tubi terhadap mereka.

Sinar Harian memetik Dr Ahmad Zahid sebagai berkata bahawa tindakan 'pembunuhan keterlaluan' sebegitu amat menguntungkan tertuduh.

“Sokongan moral untuk DS (Datuk Seri) Najib pagi ini (25 Okt). Tekanan bertubi-tubi kepada kami berdua tidak mematah semangat terus istiqamah dalam perjuangan."

"Tindakan 'overkilled' yang dilakukan menimbulkan defisit keyakinan kepada pemerintah. Ianya amat untungkan yang tertuduh.

“Terima kasih kerana mengheret kami,” kata Dr Ahmad Zahid seperti yang dipetik Sinar Harian.

Pada Jumaat lalu (19 Okt), Anggota Parlimen Bagan Datuk itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 45 tuduhan melibatkan 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta (S$14 juta).

Beliau juga didakwa dengan 27 tuduhan membabitkan diri dalam kegiatan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta (S$24 juta), lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah atas kesemua tuduhan yang dibaca di hadapan hakim, Azura Alwi.

Hari ini (25 Okt) pula, Encik Najib dan mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah, dihadapkan di mahkamah yang sama atas enam tuduhan pecah amanah melibatkan wang RM6.6 bilion (S$2.2 bilion) milik kerajaan Malaysia.  

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita