Skip to main content

Dunia

Terapi seni bantu wanita Afghanistan dibelenggu kesihatan mental

Anggaran Waktu Membaca:
MAZAR-I-SHARIF: Di sebuah rumah di utara Afghanistan, Khushi, 19 tahun, melukis portretnya sendiri, dalam bentuk susuk tubuh diselubungi burqa biru dan berada dalam sangkar.

Bekas mahasiswi itu pernah menghadiri kelas sains politik dan undang-undang di universiti utama wilayah utara Balkh. Namun, beliau mengalami kemurungan sejak Taliban melarang wanita menghadiri institusi pendidikan tinggi pada Disember tahun lalu dan Khushi memerlukan rawatan psikiatri, di mana dia dicadangkan mengikuti kelas terapi seni.

"Selepas Tabilan melarang pelajar perempuan daripada universiti dan mengumumkan bahawa mereka tidak boleh melanjutkan pengajian di universiti, saya rasa sungguh sedih, hari demi hari kesihatan mental saya bertambah buruk, saya... akhirnya mengambil keputusan untuk berjumpa ahli psikiatri untuk memperbaiki keadaan saya.'
Pihak Taliban berkata mereka menghormati hak wanita berlandaskan syariat Islam dan budaya Afghanistan.

Namun, ramai wanita, terutama di kawasan bandar, yang berpeluang meneruskan pengajian dan bekerja sepanjang 20 tahun tentera asing dan pemerintah disokong Barat berkuasa, kini berputus asa dan berdepan cabaran kesihatan mental, kata wanita Afghanistan dan pakar kesihatan mental.

Pakar psikiatri Khushi, yang tidak boleh didedahkan namanya atas sebab-sebab keselamatan, berkata "Studio seni adalah satu-satunya cara yang kami ada untuk membantu pesakit kami... ia sudah menjadi satu-satunya tempat di mana wanita boleh menenangkan minda mereka, bertemu rakan-rakan lama, membuat kawan baharu, dan selain daripada itu, mereka boleh belajar seni juga."

Khushi bertemu ahli psikiatrinya dua kali sebulan. Sebelum ini, pakar psikiatri itu bertemu empat hingga lima pesakitnya sehari. Namun, jumlah pesakitnya bertambah kepada 10 hingga 15 sehari, kebanyakannya wanita. Kenaikan jumlah itu lebih jelas selepas Taliban menghalang wanita daripada melanjutkan pengajian di universiti, katanya.

Khushi menambah bahawa terapi seni memberinya tempoh untuk berehat di luar rumah dan sedikit harapan untuk masa depan.

"Ia memberi saya perasaan bahawa berjaya membuat sesuatu, secara keseluruhan, melukis memberi saya semangat untuk rasa yakin," kata Khushi.

"Saya kecewa dengan hidup saya, tetapi saya tidak akan berputus asa, saya akan berjuang. Saya harap keadaan akan bertambah baik pada masa depan."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita