Skip to main content

Dunia

TEPCO Jepun mulakan semula loji nuklear terbesar dunia pada 20 Jan 2026

Tokyo Electric Power Co merancang untuk menghidupkan semula unit pertama loji janakuasa nuklearnya di Kashiwazaki-Kariwa, yang terbesar di dunia, pada 20 Januari, kata Presiden TEPCO, Tomiaki Kobayakawa, kepada para wartawan pada Rabu (24 Dis).
Anggaran Waktu Membaca:
TEPCO Jepun mulakan semula loji nuklear terbesar dunia pada 20 Jan 2026
Loji janakuasa nuklear Kashiwazaki-Kariwa milik Tokyo Electric Power Company (TEPCO), salah sebuah kemudahan nuklear terbesar di dunia, yang terletak di sepanjang pesisir pantai di Kashiwazaki, wilayah Niigata, Jepun, pada 21 Disember 2025. (Gambar: REUTERS/Issei Kato)
TOKYO: Tokyo Electric Power Co merancang untuk menghidupkan semula unit pertama loji janakuasa nuklearnya di Kashiwazaki-Kariwa, yang terbesar di dunia, pada 20 Januari, kata Presiden TEPCO, Tomiaki Kobayakawa, kepada para wartawan pada Rabu (24 Dis).

Minggu ini, sebuah perhimpunan wilayah di Niigata, kawasan di mana loji tersebut terletak, memberi kebenaran untuk memulakan semula, secara separa, loji Kashiwazaki-Kariwa. Ia akan menjadi yang pertama bagi TEPCO sejak kejadian reaktor nuklear Fukushima Daiichi yang lebur pada 2011.

Kashiwazaki-Kariwa, yang terletak kira-kira 220 kilometer (136 batu) di barat laut Tokyo, merupakan antara 54 reaktor yang ditutup selepas gempa bumi dan tsunami pada 2011 melumpuhkan loji Fukushima Daiichi dalam bencana nuklear terburuk di dunia sejak Chernobyl.

“Sebagai syarikat yang bertanggungjawab ke atas kejadian Fukushima Daiichi, kami akan menerapkan iktibar dan pengajaran yang dipelajari… Kami akan meneruskan permulaan semula ini, yang pertama dalam tempoh 14 tahun, dengan keselamatan sebagai keutamaan utama,” kata Encik Kobayakawa.

Jepun sudah menghidupkan semula 14 daripada 33 reaktor yang masih boleh beroperasi, sedang negara itu berusaha untuk mengurangkan kebergantungannya kepada bahan api fosil yang diimport, dan pada November menggariskan cadangan sistem pinjaman awam kerana ia berhasrat untuk menggandakan bahagian tenaga nuklear dalam campuran tenaganya.

Jumlah kapasiti Kashiwazaki-Kariwa ialah 8.2 gigawatt, cukup untuk membekalkan elektrik kepada beberapa juta rumah. Permulaan semula yang dirancang itu akan membolehkan satu unit berkapasiti 1.36 gigawatt untuk beroperasi pada Januari, dan memulakan semula satu lagi unit dengan kapasiti yang sama sekitar 2030.

TEPCO sebelum ini menyatakan bahawa ia mungkin akan menamatkan operasi sebahagian daripada lima unit yang masih berbaki.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita