Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tenun Pahang Diraja bakal dipamer di Minggu Seni London

Buat julung-julung kalinya, lebih 300 koleksi Tenun Pahang Diraja hasil kerja tangan banduan dari Penjara Penor dan Penjara Bentong bakal dipamerkan di Minggu Seni London, yang berlangsung di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square pada 9 hingga 15 Mei depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Tenun Pahang Diraja bakal dipamer di Minggu Seni London

Pemegang Amanah Yayasan Tenun Pahang Diraja Datin Tengku Marina Tengku Ibrahim pada sidang media mengenai Minggu Seni London di Rumah Kelab, Istana Negara, pada 11 Mac 2022. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Buat julung-julung kalinya, lebih 300 koleksi Tenun Pahang Diraja hasil kerja tangan banduan dari Penjara Penor dan Penjara Bentong bakal dipamerkan di Minggu Seni London, yang berlangsung di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square pada 9 hingga 15 Mei depan.

Menarik lagi, lebih 30 daripada koleksi itu turut mendapat sentuhan kreatif dan rekaan daripada Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja.

Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang Ahmad Farid Abdul Jalal berkata penyertaan itu merupakan inisiatif daripada Tunku Azizah di bawah Yayasan Tenun Pahang Diraja dalam usaha mempromosikan produk kraf tempatan, terutamanya kain tenun, di luar negara.

“Pada saya, langkah Seri Paduka sangat tepat kerana festival ini adalah lokasi strategik dan menjadi kawasan tumpuan pelancong, sekali gus dapat memperkenalkan dan mempromosi produk kraf kita di mata dunia.

“Pelibatan Tunku Azizah sangat lama, bukan sekadar menaunginya, baginda turut terlibat sama dalam kerja-kerja penghasilan kain tenun termasuk soal rekaan, kain dan warna,” katanya dalam sidang media Minggu Seni London di Istana Negara di Kuala Lumpur pada Jumaat (11 Mac).

Minggu Seni London bakal mengumpulkan hampir 300 pembuat, pereka, jenama serta galeri yang terkenal dari seluruh dunia bagi mempamerkan produk kraf mereka.

Pada masa sama, Encik Ahmad Farid berkata penyertaan ke Minggu Seni London juga dapat memberi pendedahan kepada penggiat tempatan dalam menghasilkan produk kraf yang bermutu tinggi.

Beliau menambah Minggu Seni London juga akan mempamerkan koleksi khusus dari Muzium Negeri Pahang bagi menunjukkan perjalanan sejarah Tenun Pahang Diraja dari awal sehingga ke pelibatan penjara dan sebagainya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan