Skip to main content

Dunia

Tentera Ukraine kuasai semula kawasan utama utara Kyiv; askar Rusia terpaksa berundur

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Ukraine kuasai semula kawasan utama utara Kyiv; askar Rusia terpaksa berundur

Presiden Volodymyr Zelenskyy berjalan masuk ke bandar Bucha pada 4 April 2022. (Gambar: Ronaldo Schemidt/AFP)

Diterbitkan : 05 Apr 2022 08:12PM Dikemas Kini : 05 Apr 2022 08:17PM

KYIV: Agensi perisikan Britain menyatakan tentera Ukraine sudahpun menguasai semula kawasan-kawasan utama di utara ibu kota Kyiv.

Keadaan itu menyebabkan askar-askar Russia terpaksa berundur dari bandar Chernihiv yang terletak di kawasan tersebut.

Bagaimanapun askar-askar Russia yang berundur dipercayai akan dikerahkan semula ke bahagian timur Ukraine. 

Menurut Amerika Syarikat, pertempuran kini beralih dari bahagian selatan ke timur negara itu. 

Amerika percaya Moscow mahu mengepung tentera Ukraine bagi menakluki bahagian timur Ukraine setelah gagal untuk menawan seluruh negara itu.

Berikut adalah perkembangan terkini peperangan di Ukraine: 

- "Rundingan dengan Rusia satu-satunya pilihan bagi Ukraine"

Presiden Volodymyr Zelenskyy berkata rundingan dengan Russia adalah satu-satunya pilihan bagi negara itu. 

Berucap ke seluruh negara, Presiden Zelenskyy akur tentang kesukaran untuk mengadakan rundingan itu.

Malah Presiden Zelenskyy berkata ada kemungkinan beliau tidak dapat bertemu Presiden Russia Vladimir Putin. 

Namun rundingan antara kedua-dua negara masih diteruskan secara maya.

- Zelenskyy bakal berucap di Majlis Keselamatan PBB 

Presiden Zelenskyy bakal berucap di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) buat pertama kalinya sejak Rusia mencerobohi Ukraine. 

Zelensky dijangka untuk berbincang tentang penemuan puluhan mayat di Bucha dan bandar-bandar lain sekitar Kyiv, di mana pasukan Rusia sudah berundur diri.

Sewaktu lawatan ke Bucha pada Isnin (4 Mac), beliau mendakwa Rusia melaksanakan "pembunuhan besar-besaran". 

- Perbicaraan jenayah perang diusulkan 

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyusulkan perbicaraan jenayah perang dan lebih sekatan dikenakan terhadap Rusia akibat kematian di Bucha. 

Kesatuan Eropah ingin menghantar pasukan penyiasat ke Ukraine untuk mengumpul bukti dan menyatakan ia sedang berbincang langkah-langkah sekatan baru terhadap Moscow. 

Seorang pegawai tinggi menyatakan EU sedang mempertimbangkan sekatan terhadap minyak dan arang daripada Rusia. 

- Rakaman 'palsu'

Moscow tidak mengambil tanggungjawab atas kematian orang awam dan mendakwa gambar-gambar mayat di Bucha dan bandar-bandar lain sekitar Kyiv ialah "palsu". 

Kementerian pertahanan Rusia menuduh tentera Ukraine memalsukan kematian orang awam dalam video ia mendakwa terjadi pada Isnin (4 Apr) di kampung Moshchun di daerah barat laut Kyiv. Namun, ia tidak menyediakan sebarang bukti dakwaannya. 

- Lebih ramai mayat ditemui

Pihak berkuasa Ukraine berkata mereka menemui mayat lima orang awam dengan tangan mereka terikat di kampung Motyzhyn di daerah barat Kyiv, termasuk datuk bandar, suami dan anak lelakinya. 

Polis menunjukkan kepada wartawan AFP empat mayat, termasuk mayat datuk bandar, yang dikebumikan di tanah perkuburan di hutan berdekatan rumahnya dan mayat kelima di perigi berhampiran. 

Pendakwa Agung Ukraine Iryna Venediktova mencatatkan di Twitter bahawa mayat lima orang lelaki yang diseksa dan dibunuh oleh pasukan Rusia ditemui di tingkat bawah tempat penginapan kesihatan kanak-kanak di Bucha. 

- Datuk bandar Kyiv beri amaran untuk tidak pulang

Datuk bandar Kyiv Vitali Klitschko memberi amaran kepada penduduk yang sudah melarikan diri daripada ibu kota tersebut untuk tidak pulang "sekurang-kurangnya untuk lagi seminggu", sekaligus menyatakan bahawa letupan di sekitar daerah tersebut masih mengancam. 

Sebilangan penduduk sudah mula pulang ke kawasan itu sejak pasukan Rusia mengundur diri. 

- Pasukan Palang Merah dilepaskan

Palang Merah menyatakan pasukan mereka yang diberkas semasa dalam perjalanan untuk menyelalamatkan orang awam daripada bandar pelabuhan Mariupol pada Isnin (4 Apr), sudah dibenarkan keluar. 

Para pekerja tersebut ditangkap di bandar Mangush, yang kini di bawah kuasa Rusia. 

- "Serangan besar" bakal melanda bahagian Timur 

Pasukan Rusia sedang bersiap sedia untuk serangan besar di daerah Lugansk di bahagian timur Ukraine, menurut gabenor tempatan Sergiy Gaiday menerusi Telegram. 

"Kami boleh lihat peralatan masuk daripada beberapa arah berbeza, mereka sedang membawa masuk tenaga manusia, dan minyak," katanya. 

- Diplomat Rusia diusir 

Denmark menyatakan ia menghalau keluar 15 diplomat Rusia kerana mengintip, sehari selepas Jerman dan Perancis memberi arahan kepada puluhan diplomat Rusia untuk pulang. 

Bekas tanah Soviet, Lithuania, mengusir duta Rusia kepada Vilnius atas apa yang dianggap sebagai "pembunuhan besar-besaran yang kejam" di Bucha dan kekejaman di bandar-bandar lain. 

- Bidaan untuk menggantung Rusia daripada majlis hak asasi 

AS dan Britain mengumumkan rancangan untuk membuat permohonan menggantung Rusia daripada menyertai Majlis Hak Asasi PBB atas pembunuhan di Bucha. 

Namun, Rusia marah dan menyifatkan bidaan itu sebagai "tidak masuk akal" dan "tidak munasabah". 

- Lebih 4.2 juta pelarian

Lebih 4.2 pelarian Ukraine sudah melarikan diri sejak pencerobohan Rusia, menurut PBB. 

Sumber : Agensi berita/AI/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita