Tentera Thai perhebat usaha buru dalang letupan bom Pasar Ramadan Pattani
Pihak tentera Thailand sudah mempergiatkan usaha memburu suspek yang mendalangi serangan bom yang mengorbankan dua orang awam di sebuah pasar Ramadan di Pattani pada Isnin (27 Mei).

Serangan bom Pattani dipercayai untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang awam pada bulan Ramadan. (Gambar: Tuwaedaniya Meringing/AFP)
PATTANI: Pihak tentera Thailand sudah mempergiatkan usaha memburu suspek yang mendalangi serangan bom yang mengorbankan dua orang awam di sebuah pasar Ramadan di Pattani pada Isnin (27 Mei).
Seorang remaja, 14 tahun, dan seorang wanita, 35 tahun, maut dalam kejadian yang berlau pada pukul 4.15 petang (waktu tempatan). Lagi 22 yang lain cedera, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan empat orang renjer yang sedang mengawal keselamatan di Pasar Ramadan itu.
Ketua Tentera Bahagian Ke-4, Leftenan Jeneral Ponsak Poonsawat, berkata pihak tentera Thailand akan meningkatkan kawalan keselamatan di bahagian selatan Thailand menyusuli serangan tersebut.
Beliau juga berkata operasi akan dilancarkan untuk menyekat pergerakan kumpulan bersenjata, selain menghapuskan "kampung merah" (kampung yang masih terdapat anggota kumpulan bersenjata) yang sudah dikenal pasti.
"Pasukan keselamatan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.
"Kumpulan yang mendalangi serangan bom ini akan dibawa ke muka pengadilan dalam tempoh terdekat," katanya semasa satu sidang media pada Selasa (28 Mei).
Setakat ini, dua daripada 22 mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal. Seramai lapan lagi masih menerima rawatan di hospital dan yang selebihnya sudahpun dibenarkan pulang.
Pihak tentera turut mengesahkan anggota kumpulan bersenjata yang maut dalam insiden berbalas tembakan di Kampung Jak Tamae, Daerah Jaha, Yala pada Isnin (27 Mei) adalah Abdullah Lateh, 37 tahun, yang mempunyai tujuh waran tangkap yang dikeluarkan pihak berkuasa Thailand.
SERANGAN INGIN CETUSKAN KETAKUTAN
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha mengutuk serangan di Pattani.
Encik Chan-o-cha berkata tindakan itu dipercayai bertujuan untuk mewujudkan ketakutan dalam kalangan orang awam pada bulan Ramadan.
Beliau juga menggesa orang ramai di bahagian selatan Thailand supaya memberi kerjasama terhadap pemeriksaan kenderaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Encik Chan-o-cha turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Dalam kejadian itu, sebutir bom buatan sendiri seberat 15 kilogram dipasang pada sebuah motosikal dan diaktifkan dengan menggunakan walkie-talkie.
LAPORAN BERKAITAN:
Dua maut, 14 cedera letupan bom pasar Ramadan di Pattani
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.