Skip to main content

Dunia

Tentera Thai, Kemboja adakan rundingan untuk sambung semula gencatan senjata

Para pegawai tentera Thailand dan Kemboja memulakan rundingan pada Rabu (24 Dis), menurut kedua-dua negara, beberapa hari selepas dua negara jiran itu bersetuju untuk membincangkan penyambungan semula gencatan senjata selepas 16 hari pertempuran sempadan yang sengit.
Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Thai, Kemboja adakan rundingan untuk sambung semula gencatan senjata
Para pegawai tentera Thailand dan Kemboja memulakan rundingan pada 24 Disember 2025 selepas kedua-dua negara bersetuju untuk membincangkan penyambungan semula gencatan senjata. (Gambar: Facebook/PR Cambodian Government)
Diterbitkan : 24 Dec 2025 09:13PM
BANGKOK: Para pegawai tentera Thailand dan Kemboja memulakan rundingan pada Rabu (24 Dis), menurut kedua-dua negara, beberapa hari selepas dua negara jiran itu bersetuju untuk membincangkan penyambungan semula gencatan senjata selepas 16 hari pertempuran sempadan yang sengit. Pertempuran tersebut sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 86 orang.

Rundingan itu diadakan dua hari selepas satu mesyuarat khas melibatkan menteri-menteri luar Asia Tenggara di Kuala Lumpur, yang diadakan bagi menyelamatkan gencatan senjata yang pertama kali diusahakan oleh pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Malaysia, dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, selepas pusingan pertempuran sebelumnya pada Julai.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Laksamana Muda Surasant Kongsiri, berkata mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am pada Rabu itu akan berlangsung selama tiga hari dan berpotensi membuka laluan kepada satu perjanjian.

Rundingan tersebut diadakan di sebuah pusat pemeriksaan sempadan di bahagian selatan sempadan kedua-dua negara sepanjang 817 kilometer.

“Jika mesyuarat antara sekretariat berjalan dengan lancar dan membawa kepada satu perjanjian, maka akan diadakan satu mesyuarat antara menteri pertahanan kedua-dua negara pada 27 Disember,” kata Encik Surasant kepada para wartawan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, berkata rundingan itu bermula pada pukul 4.30 petang waktu tempatan (pukul 5.30 petang waktu Singapura), dipimpin oleh jeneral dari kedua-dua pihak.

Mesyuarat itu merupakan langkah paling signifikan sejak pertempuran tercetus semula dan ia menyusuli usaha-usaha berasingan yang tidak membuahkan hasil oleh Malaysia, China dan Amerika Syarikat untuk membawa kedua-dua negara ke meja rundingan.

PERTEMPURAN BERTERUSAN

Kemboja dan Thailand masing-masing menuduh satu sama lain melakukan pencerobohan dan melanggar gencatan senjata yang dipertingkat yang dicapai pada Oktober di Malaysia dengan kehadiran Encik Trump, di mana kedua-dua negara berikrar untuk menjalankan kerja-kerja untuk membersihkan periuk api serta mengundurkan tentera dan senjata berat dari kawasan yang kedaulatannya dipertikaikan secara sengit selama beberapa dekad.

Menjelang rundingan pada Rabu itu, Thailand dan Kemboja terus bertempur, dengan kedua-dua pihak berbalas tembakan di beberapa lokasi sejak awal Disember, merentasi kawasan berhutan berhampiran Laos hingga ke wilayah pesisir Teluk Thailand.

Sekurang-kurangnya 21 orang awam terbunuh di Kemboja sejak pertempuran tercetus, dan lebih setengah juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa negara itu. Di Thailand pula, sekurang-kurangnya 65 orang terkorban, dengan lebih 150,000 penduduk dipindahkan dari kediaman mereka.

Kementerian Pertahanan Kemboja pada Rabu menuduh Thailand menggunakan pesawat pejuang untuk menggugurkan bom di wilayah sempadannya, Banteay Meanchey, sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai “kejam” dan tidak mengira sasaran.

Thailand pula menyatakan bahawa jirannya itu terus melepaskan tembakan menggunakan senjata berat ke kawasan awam di wilayah Sa Kaeo pada Rabu, sehingga mendorong tentera Thailand untuk bertindak balas.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita