Skip to main content

Dunia

Tentera Syria arah penduduk berpindah, pertempuran semakin sengit di Aleppo

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Syria arah penduduk berpindah, pertempuran semakin sengit di Aleppo
Orang awam membawa barangan peribadi sedang mereka larikan diri susuli pertempuran baharu di Aleppo, Syria, pada 8 Jan 2026. (Gambar: REUTERS/Mahmoud Hassano)
Diterbitkan : 09 Jan 2026 07:19AM Dikemas Kini : 09 Jan 2026 07:22AM
ALEPPO: Tentera Syria bertempur dengan anggota Angkatan Demokratik Syria (SDF) yang diterajui oleh etnik Kurdi di beberapa bahagian bandar Aleppo pada Khamis (8 Jan). Menurut media pemerintah Syria, tentera mengarahkan penduduk berpindah dan menuduh SDF menggunakan kawasan majoriti Kurdi untuk melancarkan serangan.

Pihak tentera mengeluarkan lebih tujuh peta yang menunjukkan kawasan sasaran serangan dan menggesa para penduduk meninggalkan kediaman mereka dengan segera demi keselamatan mereka Perintah berkurung juga diumumkan di kawasan Sheikh Maqsoud dan Ashrafieh bermula pukul 3.00 petang.

Pertempuran yang bermula sejak Selasa (6 Jan) menyebabkan ribuan orang awam melarikan diri, serta mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.

SDF pula menyatakan bahawa para anggotanya terlibat dalam pertempuran sengit dengan kumpulan yang menyokong pemerintah Damsyik berhampiran kawasan kejiranan Syriac. Mereka mendakwa pertempuran itu menyebabkan kerugian besar kepada pihak lawan.

Keganasan tersebut menunjukkan ketegangan yang semakin meruncing antara pemerintah pusat di Damsyik dengan pihak berkuasa Kurdi yang enggan tunduk kepada pemerintah pusat.

TUDUHAN "PEMBERSIHAN ETNIK"

Menteri Wilayah Kurdistan, Masrour Barzani, menyatakan rasa bimbang yang mendalam terhadap serangan ke atas kawasan Kurdi di Aleppo. Beliau memberi amaran bahawa tindakan menyasarkan orang awam dan percubaan mengubah struktur penduduk di sana boleh dianggap sebagai satu bentuk "pembersihan etnik".

Beliau menggesa semua pihak supaya bertenang, melindungi orang awam, dan menggunakan jalan rundingan.

SDF pula menuduh pihak-pihak yang menyokong Damsyik mengancam melakukan serangan haram ke atas kawasan orang awam. Mereka mendakwa amaran serangan bom boleh dianggap sebagai pemindahan paksa dan jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.

Lebih ramai penduduk dilihat meninggalkan Sheikh Maqsoud dan Ashrafieh melalui laluan selamat yang ditetapkan.

LATAR BELAKANG KONFLIK

SDF adalah sekutu yang disokong oleh Amerika Syarikat dan mengawal sebahagian besar timur laut Syria. Mereka adalah rakan utama Washington dalam memerangi ISIS.

Pihak berkuasa Kurdi sudah menubuhkan pentadbiran sendiri di kawasan tersebut sepanjang 14 tahun perang Syria. Mereka enggan bergabung sepenuhnya dengan pemerintah pimpinan kumpulan pemberontak yang mengambil alih kuasa selepas Presiden Bashar al-Assad digulingkan pada akhir 2024.

Damsyik dan SDF pernah mencapai persetujuan tahun lalu untuk bergabung sepenuhnya menjelang hujung 2025, namun tiada banyak kemajuan dicapai kerana kedua-dua pihak saling menyalahkan satu sama lain.

Amerika Syarikat cuba menjadi orang tengah dalam rundingan pada Ahad lalu, tetapi perbincangan itu berakhir tanpa sebarang keputusan.

Para diplomat memberi amaran jika SDF gagal diserap ke dalam tentera Syria, keganasan akan terus berlaku. Ini juga boleh menarik perhatian Turki yang menganggap kumpulan Kurdi sebagai pengganas dan mengancam akan mengambil tindakan ketenteraan.

Turki pada Khamis menyatakan kesediaan untuk membantu Syria jika diminta, selepas tentera Syria melancarkan operasi yang dipanggil "antipengganas" di Aleppo.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita