Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tentera Pakistan dakwa 3 pangkalan udaranya diserang oleh peluru berpandu India

Anggaran Waktu Membaca:
 Tentera Pakistan dakwa 3 pangkalan udaranya diserang oleh peluru berpandu India

Masyarakat Muslim di Kashmir tiba untuk mendirikan solat Jumaat di sebuah masjid yang musnah berikutan serangan India di Muzaffarabad, ibu wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan, pada 9 Mei, 2025. (Gambar: AFP/Sajjad QAYYUM)

RAWALPINDI: Tentera Pakistan pada Sabtu (10 Mei) menyatakan bahawa tiga daripada pangkalan udaranya telah diserang oleh peluru berpandu India, termasuk satu di pinggir ibu kota Islamabad berhampiran ibu pejabat tentera.

"India, dengan pencerobohannya telah menyerang dengan peluru berpandu. Pangkalan Nur Khan, pangkalan Murid, dan pangkalan Shorkot telah menjadi sasaran India," kata jurucakap tentera Ahmed Sharif Chaudhry dalam wawancara yang disiarkan oleh stesen televisyen pemerintah Pakistan.

"Sekarang anda hanya perlu menunggu jawapan kami," amaran Encik Chaudhry kepada India.

Pangkalan udara Nur Khan di Rawalpindi, di mana terletaknya ibu pejabat tentera, ditempatkan sekitar 10km dari ibu negara Islamabad.

Awal sebelum itu, jurucakap tentera berkata India melancarkan peluru berpandu balistik yang gugur di wilayah India, mengumumkannya dalam satu kenyataan mengejut melalui penyiar nasional pada pukul 1.50 pagi waktu tempatan pada Sabtu, tanpa butiran diberikan untuk menyokong dakwaan itu.

"Saya ingin memberi anda berita mengejutkan bahawa India melancarkan enam peluru berpandu balistik dari Adampur. Satu daripada peluru berpandu balistik gugur di Adampur, selebihnya terkena kawasan Punjab di Amritsar," kata jurucakap tentera dalam kenyataan video pendeknya.

Pesuruhjaya daerah Amritsar dalam mesej teks antara Jumaat dan Sabtu berkata: "Jangan panik. Semboyan berbunyi kerana kami berada di bawah amaran merah. Jangan panik, seperti sebelum ini, padamkan lampu, jauhkan diri dari tingkap. Kami akan memaklumkan anda apabila bersedia untuk menyambung semula bekalan elektrik."

India tidak mengulas mengenai dakwaan tersebut.

Pakistan telah memberi amaran bahawa ia "tidak akan berdiam diri" dalam konflik yang semakin meningkat dengan India, dan menyalahkan New Delhi kerana mengheret kedua-dua negara jiran bersenjata nuklear itu lebih dekat kepada perang besar-besaran, dengan jumlah kematian mencecah 50 orang.

Pada Jumaat (9 Mei), iaitu hari ketiga pertempuran, tentera India berkata ia telah "menangkis" serangan Pakistan yang menggunakan dron dan senjata lain semalaman, dan berikrar akan memberikan "tindak balas yang sewajarnya".

Jurucakap tentera Pakistan menafikan Islamabad melakukan serangan sedemikian, dan berikrar akan membalas dendam atas serangan awal India.

Sumber tentera Pakistan berkata bahawa tenteranya telah menembak jatuh 77 dron India sejak dua hari lalu, dengan serpihan pencerobohan dilihat oleh AFP di bandar-bandar di seluruh negara itu.

Seorang jurucakap tentera India pada Jumaat mendakwa sebanyak "300 hingga 400" dron Pakistan telah ditembak jatuh, tetapi mustahil untuk mengesahkan dakwaan itu secara bebas.

Kedua-dua negara telah berperang beberapa kali berhubung Kashmir, yang kedua-duanya menuntut sepenuhnya tetapi mentadbirnya secara berasingan.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan