Skip to main content

Dunia

Tentera Myanmar tutup pusat jenayah siber, tahan lebih 2,000 orang

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Myanmar tutup pusat jenayah siber, tahan lebih 2,000 orang

Askar-askar berdiri di sebelah peranti Starlink semasa mereka merampas pusat penipuan online KK Park di Myawaddy, Myanmar. (Gambar: AP/Pasukan Maklumat Berita Benar Tentera Myanmar)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 21 Oct 2025 12:12PM
BANGKOK: Tentera Myanmar menutup operasi penipuan online berhampiran sempadan dengan Thailand, dengan menahan lebih 2,000 orang dan merampas berpuluh-puluh terminal internet satelit Starlink, lapor media pemerintah pada Isnin (20 Okt).

Myanmar terkenal sebagai tempat operasi sindiket penipuan siber yang menipu mangsa di seluruh dunia.

Operasi itu biasanya melibatkan taktik memperdaya mangsa secara online melalui pendekatan romantik dan pelaburan palsu.

Pusat-pusat penipuan itu turut merekrut pekerja dari luar negara dengan janji mereka akan mendapat pekerjaan, namun kemudian menahan dan memaksa mereka melakukan kegiatan jenayah.

Operasi penipuan tersebut menarik perhatian antarabangsa minggu lalu apabila Amerika Syarikat dan Britain mengenakan sekatan terhadap penganjur sindiket penipuan siber utama dari Kemboja, dan ketuanya didakwa di mahkamah persekutuan di New York.

Menurut laporan akhbar Myanma Alinn pada Isnin, tentera menyerbu KK Park, iaitu sebuah pusat jenayah siber, sebagai sebahagian daripada operasi yang bermula pada awal September untuk membanteras penipuan online, perjudian haram dan jenayah siber rentas sempadan.

Akhbar itu menyiarkan gambar yang menunjukkan peralatan Starlink yang dirampas serta askar yang dikatakan menjalankan serbuan, walaupun tidak jelas bila gambar itu diambil.

KK Park terletak di pinggir Myawaddy, sebuah bandar perdagangan utama di sempadan Thailand dalam wilayah Kayin, Myanmar.

Mejar Jeneral Zaw Min Tun, yang juga jurucakap pemerintah tentera, menuduh dalam kenyataannya pada Isnin malam bahawa pemimpin tertinggi Kesatuan Kebangsaan Karen (Karen National Union), sebuah kumpulan bersenjata etnik yang menentang pemerintahan tentera, terlibat dalam projek penipuan di KK Park.

Tuduhan itu pernah dibuat sebelum ini, berdasarkan dakwaan bahawa sebuah syarikat yang disokong kumpulan Karen membenarkan tanah tersebut disewa.

Namun, pihak Karen - yang merupakan sebahagian daripada gerakan penentangan bersenjata terhadap pemerintah tentera dalam perang saudara Myanmar - menafikan sebarang pelibatan dalam penipuan tersebut.

Myanma Alinn melaporkan bahawa tentera mendapati lebih 260 bangunan tidak berdaftar, dan merampas peralatan termasuk 30 set terminal internet satelit Starlink.

Ia turut menyatakan bahawa seramai 2,198 individu ditahan, namun tidak menyatakan kewarganegaraan mereka.

Starlink ialah sebahagian daripada syarikat SpaceX milik Elon Musk, dan terminalnya berhubung dengan satelit syarikat itu.

Ia tidak mempunyai operasi berlesen di Myanmar, namun sekurang-kurangnya beratus-ratus terminal diseludup masuk ke negara Asia Tenggara itu.

Syarikat itu belum dapat dihubungi untuk mendapatkan komen pada Isnin, namun dasarnya melarang "kelakuan yang memfitnah, menipu, lucah atau memperdaya."

Sebelum ini, terdapat beberapa tindakan tegas terhadap operasi penipuan siber di Myanmar pada tahun ini dan juga pada 2023.

Akibat tekanan dari China, kerajaan Thailand dan pemerintah Myanmar melancarkan operasi pada Februari lalu yang menyaksikan ribuan mangsa pemerdagangan manusia dibebaskan daripada kem penipuan, dengan kerjasama kumpulan bersenjata etnik yang menguasai kawasan sempadan Myanmar.
Sumber : AP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita