Skip to main content

Dunia

Tentera Myanmar serbu ibu pejabat parti Aung San Suu Kyi

Tentera Myanmar menyerbu ibu pejabat Parti Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi pada Selasa (9 Feb), sedang Amerika Syarikat menyokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mengutuk "keras" keganasan terhadap para penunjuk perasaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Myanmar serbu ibu pejabat parti Aung San Suu Kyi

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 10 Feb 2021 11:40AM Dikemas Kini : 10 Feb 2021 11:50AM

YANGON: Tentera Myanmar menyerbu ibu pejabat Parti Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi pada Selasa (9 Feb), sedang Amerika Syarikat menyokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam mengutuk "keras" keganasan terhadap para penunjuk perasaan yang menuntut agar demokrasi dikembalikan di negara itu.

Penggulingan serta penahanan Aung San Suu Kyi oleh tentera pada minggu lalu menyebabkan beratus-ratus ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di Myanmar bagi membantah rampasan kuasa tersebut.

"Diktator tentera menyerbu dan memusnahkan ibu pejabat NLD kira-kira pukul 9.30 malam," umum NLD dalam kenyataan ringkas menerusi laman Facebook parti itu tanpa memberikan butiran lanjut.

Serbuan dilaporkan berlaku selepas tunjuk perasaan masuk hari keempat berturut-turut semalam, yang menyaksikan pihak berkuasa menggunakan meriam air di beberapa bandar, selain melepaskan tembakan menggunakan peluru getah terhadap para penunjuk perasaan di Naypyidaw dan gas pemedih mata di Mandalay.

Myanmar terus bergolak dengan bantahan besar-besaran diadakan walaupun junta tentera memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap para penunjuk perasaan yang dituduh menggugat 'kestabilan negara' dan mengenakan sekatan baru untuk melarang perhimpunan melebihi lima orang.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa pihaknya 'amat bimbang' terhadap keganasan yang berlaku.

"Penggunaan kekerasan tidak wajar terhadap para penunjuk perasaan tidak boleh diterima sama sekali," kata penyelaras kemanusiaan PBB di Myanmar, Ola Almgren.

Di Naypyidaw, sejumlah saksi mendakwa polis melepaskan tembakan ke arah para penunjuk perasaan setelah menggunakan meriam air untuk meleraikan keadaan.

"Mereka melepaskan tembakan amaran ke udara sebanyak dua kali, kemudian menembak (penunjuk perasaan) dengan peluru getah," kata seorang penduduk kepada agensi berita AFP.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita