Tentera Myanmar mungkin terlibat dalam 'jenayah terhadap kemanusiaan': Pakar PBB
Tentera Myanmar mungkin melakukan "jenayah terhadap kemanusiaan", kata pakar kanan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di negara itu pada Khamis (11 Mac), sambil menambah sekurang-kurangnya 70 orang dilaporkan "dibunuh" sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu.
Orang ramai menyaksikan polis Myanmar. (Gambar: REUTERS/Stringer)
GENEVA: Tentera Myanmar mungkin melakukan "jenayah terhadap kemanusiaan", kata pakar kanan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di negara itu pada Khamis (11 Mac), sambil menambah sekurang-kurangnya 70 orang dilaporkan "dibunuh" sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu.
Encik Thomas Andrews memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva bahawa Myanmar ketika ini "dikawal oleh rejim pembunuh haram".
"Ada semakin banyak bukti bahawa tentera Myanmar yang diketuai oleh kepimpinan kanan yang sama sekarang mungkin terlibat dalam jenayah terhadap kemanusiaan termasuk tindakan pembunuhan, penculikan, penganiayaan dan penyiksaan."
Sementara beliau menekankan bahawa kesalahan itu hanya dapat ditentukan di mahkamah, beliau berkata bahawa terdapat bukti jelas bahawa jenayah-jenayah pihak junta "berleluasa", "sistematik" dan adalah sebahagian daripada "kempen yang diselaraskan".
Selain itu beliau berkata tindakan itu dilakukan dengan "pengetahuan pemimpin kanan", termasuk Min Aung Hlaing.
Pelapor Khas PBB itu sedang menyampaikan laporan terbarunya mengenai keadaan itu kepada majlis tersebut tetapi menyesali bahawa sejak diterbitkan minggu lalu, jumlah orang yang dibunuh dan ditahan oleh tentera meningkat dengan ketara.
Pada Rabu lalu, pihak junta menahan lebih 2,000 orang sementara "keganasan terhadap para penunjuk perasaan, termasuk mereka yang berada di dalam rumah, terus meningkat."
Menurutnya lagi, beliau sudah merakamkan bagaimana junta secara "sistematik memusnahkan perlindungan di bawah undang-undang daripada kebebasan bersuara, perhimpunan dan persatuan hingga ke hak privasi".
"Rakyat Myanmar bukan hanya memerlukan kata-kata sokongan tetapi juga tindakan sokongan.
"Mereka memerlukan pertolongan masyarakat antarabangsa sekarang," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.