Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tentera Lubnan berundur dari sempadan sedang Israel siap sedia lancar serangan darat

Tentera Lubnan berundur dari kawasan yang bersempadan dengan Israel pada lewat Isnin (30 Sep) sedang serangan darat oleh Israel kelihatan hampir berlaku, beberapa hari selepas Israel membunuh ketua Hezbollah.

Anggaran Waktu Membaca:
WASHINGTON: Tentera Lubnan berundur dari kawasan yang bersempadan dengan Israel pada lewat Isnin (30 Sep) sedang serangan darat oleh Israel kelihatan hampir berlaku, beberapa hari selepas Israel membunuh ketua Hezbollah.

Seorang pegawai Amerika yang tidak mahu namanya didedahkan memberitahu Reuters bahawa kedudukan tentera Israel membayangkan serangan darat mungkin akan dilancarkan tidak lama lagi.

Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant memberitahu para ketua majlis di bahagian utara Israel bahawa fasa seterusnya peperangan di kawasan sempadan selatan Lubnan akan bermula tidak lama lagi bagi memenuhi matlamat untuk membawa pulang warga Israel yang melarikan diri dari roket Hezbollah selama hampir setahun tercetus peperangan di kawasan sempadan.

Beliau juga memberitahu tentera Israel: "Kami akan menggunakan semua cara yang mungkin diperlukan - pasukan anda, pasukan lain, dari udara, dari laut, dan di darat. Semoga berjaya."

Tentera Lubnan berundur dari kedudukan di bahagian selatan sempadan negara itu dengan Israel ke kira-kira 5km utara sempadan, menurut sumber keselamatan Lubnan kepada Reuters.

Jurucakap tentera Lubnan bagaimanapun tidak mengesahkan atau menafikan pergerakan itu.

Amal Al-Hourani, Datuk Bandar Jdeidet Marjayoun, sebuah kampung di Lubnan dengan majoriti penduduknya beragama Kristian yang terletak kurang daripada 10km dari sempadan, memberitahu Reuters bahawa dua penduduk tempatan telah menerima panggilan daripada tentera Israel yang memberitahu mereka supaya mengosongkan kawasan itu secepat mungkin.

Tentera Israel mengisytiharkan kawasan sekitar masyarakat Metula, Misgav Am dan Kfar Giladi di utara Israel berhampiran kawasan sempadan dengan Lubnan sebagai zon tentera dan berkata kemasukan ke kawasan itu tidak dibenarkan.

Pembunuhan Hassan Nasrallah pada Jumaat (27 Sep) - pemimpin paling berkuasa Hezbollah terhadap kepentingan Israel dan Amerika Syarikat di Timur Tengah - merupakan satu tamparan paling hebat dalam tempoh beberapa dekad kepada kedua-dua Hezbollah dan Iran.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan