Skip to main content

Dunia

Tentera Libya Timur bergerak ke Tripoli, pertempuran dilapor berlaku di bekas lapangan terbang Libya

Para pemimpin dunia menyeru pemimpin-pemimpin Libya supaya bertenang dan mengelakkan tercetusnya satu perang saudara.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Apr 2019 05:27PM Dikemas Kini : 07 Apr 2019 04:39PM

TRIPOLI/BENGHAZI: Para pemimpin dunia menyeru pemimpin-pemimpin Libya supaya bertenang dan mengelakkan tercetusnya satu perang saudara.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, pula sudahpun meninggalkan Libya selepas gagal memujuk Panglima Tentera Libya Timur (LNA), Khalifa Haftar.

Semasa mengadakan pertemuan dengan Haftar di Benghazi, Encik Guterres berkata beliau berharap "pertempuran berdarah" dapat dielak.

Haftar jelas memberitahu Encik Guterres bahawa beliau tidak mempunyai niat untuk menghentikan operasi bagi menguasai ibu kota Tripoli, kata Utusan PBB ke Libya Ghassan Salame kepada majlis PBB.

Tentera pimpinan Khalifa Haftar kini mara ke bahagian selatan ibu kota Tripoli dalam satu tindakan mencabar pemerintah Libya, yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Beberapa laporan menyatakan pertempuran meletus di bekas kawasan lapangan terbang antarabangsa Libya.

Libya terbahagi kepada dua bahagian utama sejak Presiden Muammar Gadaffi digulingkan pada 2011.

Pemerintah, yang berkuasa di Tripoli, diiktiraf negara-negara Barat. Tetapi satu lagi pentadbiran di timur Libya disokong Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Mesir.

Pada Jumaat (5 Apr), askar-askar pemerintah di Tripoli mendakwa ia sudahpun menahan 145 askar LNA dan merampas 60 buah kenderaan.

Bagaimanapun, LNA mendakwa pihaknya kini menguasai bandar Gharyan, yang terletak sekitar 80 kilometer ke bahagian selatan Tripoli.

PBB dan negara-negara Barat sebelum ini cuba menjadi orang tengah bagi menghuraikan pertikaian antara Perdana Menteri Fayez al-Serraj dengan Haftar. 

Sumber : AFP/AA/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita