Skip to main content

Dunia

Tentera Israel musnahkan 60 peratus rumah di Carikan Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Israel musnahkan 60 peratus rumah di Carikan Gaza

(Gambar: AFP/Mohammed Abed)

Diterbitkan : 01 Dec 2023 03:09PM
BANDAR GAZA: Tentera Israel dilaporkan memusnahkan lebih 60 peratus rumah dan unit kediaman di Carikan Gaza, menurut pejabat media pemerintah Gaza pada Khamis (30 Nov).

"Tindakan tentera Israel memusnahkan rumah dan unit kediaman menyebabkan penduduk berdepan dengan bencana kemanusiaan yang semakin meruncing, terutamanya di wilayah Gaza dan utara Gaza," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan itu.

Selain itu, lebih 26 hospital dan 55 pusat kesihatan terpaksa menutup operasi sama ada akibat bedilan bom, ditawan atau dimusnahkan.

"Ribuan mangsa yang maut masih berada di bawah runtuhan dan pasukan pertahanan awam tidak dapat mengeluarkannya kerana kawasan berkenaan telah dikepung selain masalah kekurangan jentera, peralatan dan bahan api,” menurut kenyataan itu.

Pejabat media itu berkata Gaza memerlukan 1,000 trak setiap hari untuk mengangkut bantuan yang diperlukan dan satu juta liter bahan api setiap hari diperlukan untuk memulakan fasa pemulihan.

Justeru itu, Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) digesa untuk merangka segera satu pelan menyelamat untuk mencari penyelesaian kepada krisis kemanusiaan secepat mungkin bagi membantu lebih daripada seperempat juta keluarga yang rumah mereka musnah atau rosak.

Menurut pejabat media itu, penduduk di wilayah berkenaan memerlukan lebih banyak hospital medan yang dilengkapi dengan peralatan perubatan untuk membantu puluhan ribu mangsa yang cedera.
Sumber : Bernama/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita