Skip to main content

Dunia

Tentera Israel mula berundur dari beberapa kawasan di Gaza susuli perjanjian gencatan senjata

Perjanjian gencatan senjata di Gaza mula berkuat kuasa pada tengah hari waktu tempatan pada Jumaat (10 Okt), menurut kenyataan tentera Israel.

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Israel mula berundur dari beberapa kawasan di Gaza susuli perjanjian gencatan senjata

Penduduk Palestin berjalan melalui kawasan kejiranan yang musnah di Gaza City pada 10 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Ebrahim Hajjaj)

BAITULMAKDIS: Perjanjian gencatan senjata di Gaza mula berkuat kuasa pada tengah hari waktu tempatan pada Jumaat (10 Okt), menurut kenyataan tentera Israel.

Pada pukul 12.00 tengah hari (pukul 9.00 pagi GMT), pasukan Pertahanan Israel (IDF) “mula menempatkan diri mereka di sepanjang garisan penempatan baharu sebagai persiapan bagi pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dan penyerahan tebusan,” menurut tentera Israel.

Tentera Israel turut memaklumkan bahawa 11 tahanan daripada Hamas akan dibebaskan, untuk menggantikan 11 tahanan yang ada kaitan dengan kumpulan Fatah, sebagai sebahagian daripada perjanjian Gaza. Mereka mengatakan bahawa terdapat perubahan "saat akhir” dalam senarai individu yang akan dibebaskan.

Pemerintah Israel meluluskan perjanjian gencatan senjata itu pada awal pagi Jumaat, untuk membuka laluan bagi menghentikan serangan di Gaza dalam tempoh 24 jam dan pembebasan rakyat Israel yang ditahan Hamas dalam tempoh 72 jam selepas itu.

Tentera Israel mula berundur dari beberapa bahagian di Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata dengan Hamas, sementara sebahagian penduduk kembali ke kawasan kejiranan mereka yang musnah sedang mereka terus keliru tentang bila pertempuran akan benar-benar berhenti selepas peperangan selama dua tahun.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Jumaat berkata pasukan Israel akan kekal berada di Gaza untuk terus memberi tekanan kepada Hamas sehingga kumpulan itu melucutkan senjata.

Beliau turut mengatakan bahawa semua tebusan akan dibebaskan dalam beberapa hari akan datang.

“Syukur rumah saya masih berdiri,” kata Ismail Zayda, 40 tahun, dari kawasan Sheikh Radwan di Gaza City. “Namun, kawasan ini sudah musnah, rumah jiran saya musnah, seluruh daerah musnah.”

“Adakah perang sudah berakhir? Mereka kata sudah. Kenapa tiada sesiapa yang tampil untuk beritahu sama ada gencatan senjata benar-benar berkuat kuasa supaya kami boleh berhenti hidup dalam ketakutan?”

Fasa pertama inisiatif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menamatkan peperangan selama dua tahun di Gaza itu merangkumi pembebasan tebusan rakyat Israel yang ditahan Hamas. Sebagai balasan, Israel akan membebaskan rakyat Palestin dalam tahanannya dan memulakan pengunduran tentera Israel.

Perdana Menteri Qatar, yang merupakan antara pengantara utama dalam konflik berkenaan, berkata pada Jumaat bahawa kejayaan fasa pertama perjanjian gencatan senjata itu adalah tanggungjawab bersama.

“Kejayaan fasa ini merupakan tanggungjawab bersama untuk memastikan perjanjian itu dilaksanakan serta bagi mencapai keamanan dan kestabilan,” kata Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, dalam satu kenyataan di platform X.

TENTERA ISRAEL UNDUR DARI TENGAH DAN SELATAN GAZA

“Pemerintah baru sahaja meluluskan rangka kerja bagi pembebasan semua tebusan – yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia,” menurut Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di platform X versi bahasa Inggerisnya.

Di Khan Younis di selatan Carikan Gaza, beberapa tentera Israel berundur dari kawasan timur berhampiran sempadan, tetapi bunyi tembakan dari kereta kebal masih kedengaran, menurut para penduduk yang dihubungi Reuters.

Di kem Nusseirat di tengah Gaza, beberapa askar Israel meninggalkan kedudukan mereka dan bergerak ke arah timur menuju ke sempadan Israel, tetapi tentera lain kekal di kawasan itu selepas tembakan kedengaran pada awal pagi Jumaat.

Tentera Israel juga berundur dari jalan-jalan di sepanjang pantai Mediterranean menuju ke Gaza City, di mana ratusan penduduk berkumpul dengan harapan untuk kembali ke pusat bandar utama wilayah itu, yang diserang oleh Israel selama sebulan.

Namun, bunyi tembakan di sekitar kawasan tersebut menyebabkan ramai penduduk berasa takut untuk bergerak, dan hanya segelintir yang cuba untuk menyeberang dengan berjalan kaki, menurut para penduduk.

Pasukan penyelamat di Gaza City pula mula menjalankan misi di kawasan yang sebelum ini tidak dapat dijangkaui. Petugas perubatan berkata sekurang-kurangnya 10 mayat ditemui daripada serangan terdahulu.

PEMIMPIN HAMAS DI GAZA TERIMA JAMINAN PERANG SUDAH BERAKHIR

Israel menjadi semakin terasing di peringkat antarabangsa akibat perang itu, yang juga menggemparkan Timur Tengah, hingga mencetuskan konflik serantau yang turut melibatkan Iran, Yaman dan Lubnan. Ia juga menguji hubungan Amerika Syarikat-Israel, dengan Encik Trump dilihat semakin hilang sabar terhadap Encik Netanyahu dan mendesaknya supaya mencapai perjanjian.

Baik rakyat Israel mahupun Palestin, mereka sama-sama bersorak selepas perjanjian itu diumumkan. Ia dilihat sebagai langkah terbesar setakat ini untuk menamatkan peperangan selama dua tahun yang sudah pun meragut lebih 67,000 nyawa rakyat Palestin, dan pembebasan baki tebusan yang ditahan Hamas dalam serangan berdarah yang mencetuskan perang tersebut.

Ketua Hamas di Gaza yang kini hidup dalam buangan, Khalil Al-Hayya, berkata beliau menerima jaminan daripada Amerika Syarikat dan pengantara lain bahawa peperangan itu sudah berakhir.

Seramai 20 tebusan rakyat Israel dipercayai masih hidup di Gaza, manakala 26 lagi disahkan sudah meninggal dunia. Nasib lagi dua orang tidak diketahui. Hamas mengatakan bahawa usaha untuk mendapatkan semula mayat mereka yang sudah meninggal dunia mungkin mengambil masa lebih lama berbanding pembebasan tebusan yang masih hidup.

Apabila perjanjian itu mula dilaksanakan, lori yang membawa bekalan makanan dan bantuan perubatan akan dibenarkan masuk ke Gaza untuk membantu orang awam. Ratusan ribu daripada mereka sedang berlindung dalam khemah selepas rumah mereka musnah akibat serangan Israel.

HALANGAN MASIH WUJUD

Perjanjian itu, jika dilaksanakan sepenuhnya, akan membawa kedua-dua pihak lebih dekat untuk menghentikan peperangan itu berbanding usaha sebelum ini.

Namun, pelbagai perkara masih boleh menggagalkannya. Kedua-dua pihak masih belum mengeluarkan senarai tahanan Palestin yang akan dibebaskan sebagai pertukaran bagi membebaskan baki tebusan rakyat Israel yang ditahan Hamas. Hamas menuntut pembebasan beberapa tahanan politik berprofil tinggi yang kini dalam penjara Israel, serta ratusan individu yang ditahan semasa serangan Israel.

Langkah-langkah seterusnya dalam pelan 20 perkara yang diusulkan Encik Trump juga belum dimuktamadkan. Ini termasuk persoalan tentang siapa yang akan mentadbir Carikan Gaza selepas peperangan berakhir, serta masa depan Hamas yang menolak tuntutan Israel agar ia melucutkan senjatanya.

Encik Netanyahu juga berdepan keraguan dalam kalangan anggota pemerintah gabungannya, kerana ramai daripada mereka menentang sebarang perjanjian dengan Hamas sejak awal lagi.

Encik Trump berkata beliau akan berangkat ke rantau itu pada Ahad, dengan kemungkinan menghadiri majlis menandatangani perjanjian berkenaan di Mesir. Speaker Knesset, Amir Ohana, turut mengundang beliau untuk berucap di parlimen Israel. Perjanjian tersebut mendapat sokongan daripada negara-negara Arab dan Barat serta digambarkan secara meluas sebagai pencapaian diplomatik yang besar bagi Encik Trump.

Amerika Syarikat juga akan mengerahkan 200 anggota tenteranya sebagai sebahagian daripada pasukan petugas bersama bagi kestabilan Gaza, tanpa sebarang anggota tentera Amerika menjejakkan kaki di wilayah Palestin itu, menurut dua pegawai kanan Amerika Syarikat pada Khamis.

Para pegawai itu, yang bercakap dengan wartawan atas syarat nama mereka tidak disebut, berkata 200 anggota itu akan menjadi teras pasukan petugas yang turut melibatkan anggota dari Mesir, Qatar, Turki dan kemungkinan Emiriah Arab Bersatu.

Lebih 67,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza yang dilancarkan selepas kumpulan Hamas menyerang bandar-bandar dan sebuah pesta muzik di Israel pada 7 Oktober 2023, di mana 1,200 orang terkorban dan lagi 251 tebusan ditawan Hamas.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita