Skip to main content

Dunia

Tentera Israel lancar serangan udara, meriam di Gaza meski gencatan senjata masih berkuat kuasa

Tentera Israel melancarkan serangan udara dan bedilan meriam di beberapa kawasan di Carikan Gaza pada awal Ahad, meskipun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Israel lancar serangan udara, meriam di Gaza meski gencatan senjata masih berkuat kuasa
Kereta kebal tentera Israel bergerak di Carikan Gaza. (Gambar: AFP)
CARIKAN GAZA: Tentera Israel melancarkan serangan udara dan bedilan meriam di beberapa kawasan di Carikan Gaza pada awal Ahad, meskipun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut saksi kepada Anadolu, pesawat pasukan Israel menyasarkan kawasan timur bandar Rafah di selatan Carikan Gaza.

Kenderaan tentera Israel turut melepaskan tembakan ke arah kawasan timur Khan Younis di selatan, manakala tentera laut pula melepaskan tembakan ke arah pesisir pantai bandar itu.

Di Gaza City, saksi melaporkan pesawat pejuang Israel melakukan serangan udara di kawasan timur, disusuli bedilan meriam secara rawak di lokasi yang sama.

Gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat dilaksanakan di Gaza sejak 10 Oktober, sekali gus menghentikan serangan dua tahun Israel yang sudah mengorbankan lebih 72,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 171,000 yang lain sejak Oktober 2023.

Bagaimanapun, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, tentera Israel melakukan ratusan pelanggaran melalui bedilan dan tembakan yang meragut 612 nyawa rakyat Palestin serta mencederakan 1,640 yang lain sepanjang tempoh gencatan senjata itu.
Sumber : Bernama/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita