Tentera Israel lancar operasi pencerobohan, dirikan pondok kawalan di barat daya Syria
Tentera Israel pada Sabtu (11 Jul) melancarkan operasi pencerobohan di sekitar perkampungan al-Samdaniyah di Wilayah Quneitra, barat daya Syria, dan mendirikan pondok kawalan sementara bagi memeriksa orang ramai yang melalui kawasan itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.
Selain di Lubnan, Israel juga melancarkan serangan udara dan operasi darat di Syria, yang mengakibatkan korban awam serta kerosakan terhadap prasarana ketenteraan. (Gambar: REUTERS)
- Tentera Israel melancarkan operasi pencerobohan di perkampungan al-Samdaniyah dan Al-Asha, Quneitra, barat daya Syria pada 11 Julai.
- Pasukan Israel memeriksa penduduk, menggeledah rumah serta gudang makanan ternakan sebelum berundur dari kawasan tersebut.
- Selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024, Israel mengumumkan Perjanjian Pelepasan Tentera 1974 dengan Syria tidak lagi berkuat kuasa dan memasuki zon penampan PBB.
- Walaupun pentadbiran baharu Syria menegaskan komitmen terhadap perjanjian itu, Israel terus melancarkan serangan yang menyebabkan korban awam dan kerosakan infrastruktur ketenteraan.
Pasukan Israel yang terdiri daripada tiga kenderaan tentera memeriksa orang ramai sebelum berundur dari kawasan itu, menurut Agensi Berita Arab Syria (SANA).
Dalam kejadian berasingan selepas tengah malam, pasukan Israel yang terdiri daripada lebih 15 kenderaan tentera mara ke perkampungan Al-Asha di selatan Quneitra, menggeledah sebuah rumah dan gudang makanan ternakan sebelum berundur, tambah SANA.
Selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada 8 Disember 2024, Israel mengisytiharkan Perjanjian Pelepasan Tentera 1974 dengan Syria tidak lagi berkuat kuasa dan memasuki zon penampan yang dipantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pentadbiran baharu Syria berulang kali menegaskan komitmennya terhadap perjanjian tersebut.
Walaupun tiada ancaman secara langsung daripada kepimpinan baharu Syria, Israel terus melancarkan serangan udara dan operasi darat di Syria, yang mengakibatkan korban awam serta kerosakan terhadap infrastruktur ketenteraan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.