Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tentera Israel kongsi video senjata didakwa ditemui dalam hospital Al-Shifa

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Israel kongsi video senjata didakwa ditemui dalam hospital Al-Shifa

Gambar yang dikongsi tentera Israel pada 15 Nov 2023 menunjukkan askar-askarnya menjalankan operasi di dalam hospital Al-Shifa. (Gambar: Tentera Israel/AFP)

GAZA: Tentera Israel pada Rabu (15 Nov), mendakwa menemui pusat operasi dan aset milik kumpulan Hamas di dalam hospital terbesar Gaza.

Hospital Al-Shifa telah menjadi sasaran utama operasi darat oleh tentera Israel, yang mengatakan Hamas mempunyai "markas operasi" dalam terowong di bawah bangunan itu.

Jurucakap tentera Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata askar-askarnya, yang memasuki hospital itu pada Rabu (15 Nov) telah menemui pelbagai senjata, alat letupan dan peralatan teknologi. Operasi mencari masih diteruskan.
Tentera Israel juga mengeluarkan satu video yang menurutnya menunjukkan beberapa barangan yang ditemui dari sebuah bangunan di pekarangan hospital. Ia termasuk senjata automatik, bom tangan, peluru dan jaket kalis peluru.

Israel berulang kali menegaskan bahawa ibu pejabat Hamas terletak di bawah Hospital Al-Shifa, yang turut disokong Amerika pada Selasa (14 Nov).

Memuji tenteranya yang menjalankan operasi di Hospital Al-Shifa, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata menerusi satu kenyataan bahawa: "Tidak ada tempat di Gaza yang tidak dapat kami tembusi. Tidak ada tempat persembunyian. Tidak ada tempat perlindungan bagi anggota Hamas."

"Kami akan mengejar dan menghapuskan Hamas, serta membawa pulang tebusan kami. Ini dua misi suci kami," katanya.

Israel turut mengesahkan askar-askarnya memasuki pekarangan hospital pada Rabu (15 Nov) selepas membunuh militan dalam satu pertempuran di luar. Sebaik sahaja di dalam hospital, mereka menegaskan bahawa tidak berlaku pertempuran mahupun pergeseran dengan pesakit, kakitangan mahupun orang awam.

Para saksi yang bercakap denan Reuters dari pekarangan hospital menyifatkan keadaan di tempat itu sebagai tenang tetapi tegang.

Askar-askar Israel bergerak dari satu bangunan ke bangunan lain sedang mereka menjalankan operasi mencari. Beberapa das tembakan juga kedengaran tetapi tiada yang dilaporkan cedera.
Sumber : Agensi berita/AQ/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan