Tentera Israel akui lelaki Palestin dibunuh 'tanpa sebab'
(Gambar fail: AFP)
RAMALLAH: Seorang lelaki Palestin yang mati ditembak tentera Israel minggu lalu, tidak menimbulkan sebarang ancaman atau bahaya dan tidak seharusnya dibunuh.
Demikian diakui tentera Israel pada Isnin (23 Jan), seperti dilaporkan Arab News.
Ahmed Kahla, 46 tahun, dari Ramon, berdekatan Silwad di Tebing Barat, ditembak di bahagian leher pada jarak yang dekat di sebuah pusat pemeriksaan tentera pada 15 Januari.
Tentera Israel pada awalnya mendakwa, Kahla ditembak kerana dia melulu keluar dari keretanya dengan sebilah pisau dan berlari ke arah pasukan tentera dengan niat untuk menikam mereka.
Anak lelaki Kahla, Qusai, 20 tahun, yang berada bersama bapanya ketika itu, mengatakan kereta mereka dihentikan di pusat pemeriksaan dan seorang askar melempar bom tangan yang terkena bahagian bumbung kereta mereka.
Apabila Kahla bertanya mengapa mereka diserang, seorang pegawai menggunakan penyembur lada dan menariknya keluar daripada kenderaan itu sebelum tentera menembaknya.
Siasatan tentera mendapati Kahla tidak mempunyai sebarang niat untuk melakukan serangan tikaman dan "insiden tersebut seharusnya tidak menyebabkan kematian".
Abang mangsa, Zayed, 45 tahun, memberitahu Arab News: "Mereka membunuhnya tanpa sebab. Kami akan mengambil semua langkah untuk mendakwa mereka."
Keluarga Kahla akan menuntut pampasan daripada pihak tentera di mahkamah Israel dan juga akan menuntut keadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, lapor Arab News.
"Kami akur bahawa perbicaraan tidak akan mengembalikan abang kami Ahmed, tetapi kami mahu mereka dihukum," kata Zayed.
"Kami ingin menghalang mereka daripada membunuh lebih ramai warga Palestin secara kejam dan tanpa sebarang alasan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.