Tentera Israel akui kesilapan lancar 2 serangan maut di Gaza Tengah
Penduduk memeriksa kemusnahan bangunan kediaman awam di kem pelarian Al-Maghazi, tengah Carikan Gaza. (Gambar: AFP)
GAZA: Tentera Israel buat pertama kali pada Khamis (28 Dis) mengakui melakukan kesilapan dalam serangan pada 24 Disember lalu, yang menurut pegawai kesihatan menyebabkan kematian puluhan orang awam, lapor The New York Times.
Pengakuan yang jarang dibuat oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) itu secara khusus merujuk kepada dua serangan di kawasan kejiranan Al Maghazi, di Carikan Gaza yang padat penduduk.
Menurut satu kenyataan tentera Israel, jet pejuangnya menyasarkan Hamas dengan melancarkan dua serangan ke atas sasaran bersebelahan "pusat operasi Hamas".
"Siasatan awal mendedahkan bahawa bangunan tambahan yang terletak berhampiran sasaran turut musnah dibedil semasa serangan tersebut," tambah kenyataan itu seperti dilapor The New York Times.
"Ini kemungkinan menyebabkan tragedi yang tidak diingini ke atas orang awam yang tidak terbabit dalam perang."
Kenyataan tentera Israel itu menambah bahawa "IDF menyesali kemudaratan ke atas individu yang tidak terlibat, dan sedang berusaha untuk mengambil iktibar daripada kejadian itu".
Israel sedang mengalami tekanan antarabangsa yang semakin meningkat, mendesaknya mengurangkan serangan udara dan darat ke atas Gaza berikutan angka korban yang telah mencapai 21,000 mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Seorang pegawai tentera yang tidak mahu dikenali memberitahu Kan News, penyiar awam Israel, bahawa pilihan senjata yang tidak betul adalah punca kerosakan yang meluas dan jumlah kematian orang awam yang tinggi.
Ramai pakar tentera berpandangan bom yang digunakan juga tidak sesuai digunakan di kawasan yang padat penduduk.
Kenyataan tentera mengenai Al-Maghazi itu timbul ketika petikan daripada draf keputusan Mahkamah Agung Israel berhubung undang-undang yang diluluskan pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dibocorkan.
Undang-undang itu bertujuan mengekang kuasa badan kehakiman Israel yang mengancam untuk memecahbelahkan pakatan yang dipimpin PM Netanyahu dengan beberapa penentangnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.