Skip to main content

Dunia

Tentera Iran lepaskan tembakan amaran ke arah 4 kapal di Selat Hormuz

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Iran lepaskan tembakan amaran ke arah 4 kapal di Selat Hormuz

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 29 May 2026 01:39PM Dikemas Kini : 29 May 2026 01:40PM
  • Angkatan tentera Iran melepaskan tembakan amaran ke arah empat kapal berhampiran Selat Hormuz kerana kapal tersebut didakwa tidak berkoordinasi ketika melalui perairan strategik itu.
  • Media Iran melaporkan pelancaran peluru berpandu dari selatan negara itu ke sasaran tidak dikenal pasti, serta letupan di bandar Jam akibat tindakan sistem pertahanan udara terhadap ancaman udara.
  • Ketegangan di Timur Tengah meningkat sejak serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada akhir Februari, yang mendorong tindak balas balas dari Tehran termasuk penutupan Selat Hormuz.
  • Gencatan senjata yang dimulakan pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan gagal mencapai persetujuan berkekalan, namun Presiden Amerika Donald Trump melanjutkan gencatan itu tanpa had masa dan rundingan masih diteruskan.
Dijana oleh AI
ISTANBUL: Angkatan tentera Iran melepaskan tembakan amaran ke arah empat kapal berhampiran Selat Hormuz selepas kapal-kapal berkenaan cuba melalui perairan strategik itu tanpa penyelarasan, lapor Anadolu Ajansi (AA), yang menukil Agensi Berita Mehr pada lewat Khamis (28 Mei).

Agensi berita Iran itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang butiran mengenai kapal-kapal terbabit.

Agensi Berita Fars Iran sebelum ini melaporkan bahawa pihak tentera melancarkan peluru berpandu dari selatan negara itu ke arah “sasaran tertentu”, tetapi sasaran sebenar tidak dikenal pasti.

Fars menyatakan beberapa sumber membayangkan kemungkinan berlaku pertempuran di perairan Teluk.

Sementara itu, televisyen pemerintah Iran melaporkan bahawa letupan yang kedengaran di bandar Jam di wilayah selatan Bushehr berpunca daripada sistem pertahanan udara yang berhadapan sasaran udara musuh.

Penyiar itu sebelum ini melaporkan tentang satu letupan di bandar berkenaan sebelum memaklumkan bahawa sistem pertahanan udara telah memintas objek musuh di udara.

Ketegangan di Timur Tengah memuncak sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada akhir Februari lalu.

Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan yang menyasarkan Israel serta sekutu Amerika Syarikat di Teluk, selain menutup Selat Hormuz.

Perjanjian gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, tetapi rundingan susulan di Islamabad gagal menghasilkan persetujuan berkekalan. Presiden Amerika Donald Trump kemudian melanjutkan gencatan senjata itu tanpa had masa.

Kedua-dua pihak sejak itu terus bertukar-tukar saranan dalam usaha menyambung semula rundingan secara langsung serta menamatkan konflik berkenaan.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita