Skip to main content

Dunia

Tentera dikerah ke Los Angeles diberi kuasa tahan penunjuk perasaan, sedang bantahan merebak di seluruh Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera dikerah ke Los Angeles diberi kuasa tahan penunjuk perasaan, sedang bantahan merebak di seluruh Amerika

Beberapa anggota penguatkuasaan undang-undang berdiri di sebelah sebuah kereta polis di Los Angeles, California, pada 11 Jun 2025. (Gambar: Reuters/Aude Guerrucci)

Diterbitkan : 12 Jun 2025 08:11AM Dikemas Kini : 12 Jun 2025 08:19AM
LOS ANGELES: Tentera Amerika Syarikat yang dikerahkan ke Los Angeles diberi kuasa untuk menahan individu-individu sehingga polis memberkas mereka, menurut pegawai komandernya pada Rabu (11 Jun).

Ini sedang ratusan anggota Marin bersiap sedia untuk bergerak ke bandar itu yang memasuki hari keenam bantahan.

Bantahan terhadap serbuan imigresen oleh Presiden Donald Trump telah merebak dari California ke bandar-bandar lain di Amerika, dengan ratusan tunjuk perasaan dirancang di seluruh negara pada Sabtu.

Keputusan Encik Trump untuk menghantar tentera ke Los Angeles meskipun dibantah oleh Gabenor California Gavin Newsom telah mencetuskan perdebatan nasional mengenai penggunaan tentera di tanah Amerika.

Pentadbiran Newsom telah menyaman pemerintah persekutuan berhubung kerahan tersebut.

Seramai 700 anggota Marin dan 4,000 anggota Pengawal Negara yang diarahkan oleh Encik Trump ke Los Angeles tidak mempunyai kuasa untuk menangkap individu, kata Mejar Jeneral Tentera Darat Amerika Scott Sherman, yang mengetuai pasukan itu.

Namun, Encik Sherman berkata pihaknya mempunyai kuasa untuk menahan individu secara sementara sehingga pihak penguatkuasa undang-undang boleh membuat tangkapan, jika perlu, untuk melaksanakan misi mereka melindungi kakitangan atau harta benda persekutuan.

Anggota Marin, yang telah menjalani latihan di selatan Los Angeles County, akan bergerak ke bandar itu "tidak lama lagi", tetapi bukan pada Rabu, kata Encik Sherman. Mereka tidak akan membawa peluru hidup dalam senjata mereka, tambahnya.

Seorang pegawai Amerika, yang enggan mendedahkan identitinya, berkata kenyataan Encik Sherman tidak mencerminkan peluasan kuasa.

Selain melindungi bangunan dan kakitangan pemerintah, Pentagon menyatakan tentera juga akan melindungi pegawai Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) semasa serbuan.

ICE telah memuat naik gambar di media sosial pada Selasa yang menunjukkan anggota Pengawal Negara mengawal dengan senjata dalam tangan mereka ketika pegawai ICE menggari individu yang disyaki pendatang di sisi sebuah kereta di Los Angeles.

Satu undang-undang tahun 1878, Akta Posse Comitatus, secara amnya melarang tentera Amerika, termasuk Pengawal Negara, daripada terlibat dalam penguatkuasaan undang-undang sivil.

Tentera di California dikerahkan di bawah undang-undang persekutuan yang berasingan yang tidak menolak larangan tersebut, tetapi membenarkan tentera melindungi ejen persekutuan yang menjalankan aktiviti penguatkuasaan undang-undang.

Sebagai contoh, anggota Pengawal Negara tidak boleh menangkap penunjuk perasaan, tetapi mereka boleh melindungi pegawai ICE yang sedang membuat tangkapan.

Peguam Negara California Rob Bonta, yang pejabatnya memfailkan saman mencabar arahan penempatan Encik Trump, berkata kepada Reuters pada Selasa bahawa langkah membenarkan tentera mengiringi ejen ICE ke dalam masyarakat berpotensi melanggar akta tersebut.

Encik Sherman tidak memberikan jumlah khusus serbuan yang disertai oleh tentera bersama ejen ICE, tetapi memberitahu media bahawa kira-kira 1,000 anggota tentera telah terlibat dalam operasi melindungi bangunan pemerintah dan penguatkuasa undang-undang.

Pentadbiran Trump pada Rabu telah memberikan jawapan dalam dokumen mahkamah terhadap saman California menjelang perbicaraan pada Khamis, dengan hujah bahawa presiden mempunyai budi bicara untuk menentukan sama ada "pemberontakan atau ancaman pemberontakan" memerlukan tindak balas ketenteraan.
Sumber : Agensi berita/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita