Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tentera Darat Malaysia sedia kerah lebih ramai anggota jika banjir semakin buruk

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Darat Malaysia sedia kerah lebih ramai anggota jika banjir semakin buruk

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 29 Nov 2024 10:03PM Dikemas Kini : 29 Nov 2024 10:05PM
KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) bersedia menambah kekuatan pegawai dan anggota dalam operasi menyelamat sekiranya bencana banjir di beberapa negeri menyusuli Monsun Timur Laut ketika ini bertambah buruk.

Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata setakat ini 192 pegawai dan 3,552 anggota telah diletakkan dalam keadaan bersiap siaga menerusi Op Murni bagi membantu agensi-agensi lain di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau berkata kesemua anggota yang terlibat telah dilengkapi dengan pelbagai jenis peralatan dan kelengkapan seperti lori, bot tempur dan peralatan menyelamat lain yang sedia digerakkan pada bila-bila masa untuk membantu operasi menyelamatkan mangsa banjir.

"TDM berpegang kepada prinsip pertama di lokasi dan sejak awal Oktober lagi kami telah mengeluarkan arah panduan awal untuk menggerakkan semua formasi agar bersiap sedia dengan anggota dan peralatan serta mengenal pasti kawasan 'hotspot' banjir.

"Sehingga hari ini, kita telah mengatur gerak 31 pegawai dan 350 anggota bersama 17 lori satu tan, 16 lori tiga tan serta 15 bot di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang telah terjejas teruk," katanya pada sidang media selepas majlis kenaikan pangkat seorang anggota yang menyelamatkan empat remaja hampir lemas di Puncak Alam, Selangor pada 24 Nov lalu, di Wisma Pertahana hari ini (29 Nov).

Bagaimanapun Encik Muhammad Hafizuddeain berkata operasi menyelamat mangsa banjir merupakan operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi lain dan pihaknya bersedia membantu NADMA selaku agensi peneraju.

"Kita akan menilai dari semasa ke semasa dan sekiranya bencana banjir ini semakin teruk TDM sentiasa bersedia menambah bilangan anggota serta peralatan yang diperlukan untuk membantu pihak berkuasa lain menyelamatkan mangsa," katanya lagi.

Awal dari itu, Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jumlah mangsa banjir di beberapa negeri terus meningkat dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 59,232 orang telah dipindahkan ke 221 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pagi tadi berbanding 50,947 orang di 207 PPS malam semalam.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan