Skip to main content

Dunia

Tentera Bangladesh dituduh rogol gadis Rohingya

Tentera Bangladesh berkata pada Khamis (3 Okt), ia mengarahkan satu siasatan selepas sebuah keluarga Rohingya dalam kem pelarian menuduh anggota tentera merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Bangladesh dituduh rogol gadis Rohingya

Anggota tentera dituduh merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun. (Gambar: Munir uz Zaman/AFP)

Diterbitkan : 04 Oct 2019 11:34AM Dikemas Kini : 04 Oct 2019 11:39AM

DHAKA: Tentera Bangladesh berkata pada Khamis (3 Okt), ia mengarahkan satu siasatan selepas sebuah keluarga Rohingya dalam kem pelarian menuduh anggota tentera merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Siasatan dilakukan ketika sejuta pelarian Rohingya yang bertebaran di kem-kem Bangladesh berdepan permusuhan meningkat, dua tahun selepas lari daripada tindakan keras tentera di Myanmar.

Abang sulung mangsa, Mohammad Osman berkata, tiga anggota tentera memasuki pondok mereka di kem Nayapara Rohingya malam Ahad lalu dan menyerang secara seksual adik perempuannya.

“Adik perempuan saya dirogol ketika seorang daripada askar menutup mulutnya,” katanya kepada AFP merujuk kepada daerah sempadan kem pelarian.

Seorang jurucakap Angkatan Tentera Bangladesh, Leftenan Kolonel Abdullah ibn Zaid berkata, mereka sedang menyiasat dakwaan itu.

“Kami sudah membentuk sebuah jawatankuasa untuk menyiasat insiden itu dan mendapatkan fakta sebenar. Jika mereka didapati bersalah, hukuman wajar akan diberi,” katanya.

Pegawai perubatan di hospital Cox’s Bazar, Dr Shaheen Abdur Rahman berkata, kanak-kanak perempuan itu diperiksa namun enggan mengulas hasil pemeriksaan kerana sekatan mahkamahSeorang jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) berkata, mereka juga menyiasat insiden terbabit.

“Kami sedar mengenai laporan itu. Dalam kes sedemikian, individu layak menerima bantuan perubatan, fizikal dan psikologi serta akses kepada proses yang wajar,” kata jurucakap UNHCR, Encik Joseph Tripura.

Ketegangan meningkat sejak beberapa minggu lalu apabila pemerintah Bangladesh yang kecewa memperkenalkan beberapa langkah yang menjadikan kehidupan semakin sukar buat pelarian.

Ia termasuk menyekat internet mudah alih, merampas kad SIM dan telefon bimbit serta memfailkan ratusan kes kerana pelarian memperoleh kad kerakyatan secara haram.

Para pakar PBB menyuarakan ‘kebimbangan serius’ terhadap sekatan itu. 

Sumber : AFP/EM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita