Skip to main content

Dunia

Tentera Amerika bersiap sedia kerah lagi 1,500 askar ke sempadan Mexico

Anggaran Waktu Membaca:
Tentera Amerika bersiap sedia kerah lagi 1,500 askar ke sempadan Mexico

(Gambar: Herika Martinez / AFP)

Diterbitkan : 23 Jan 2025 08:58AM Dikemas Kini : 23 Jan 2025 09:01AM
WASHINGTON: Tentera Amerika akan mengerahkan lagi 1,500 askar ke sempadan dengan Mexico, menurut Rumah Putih pada Rabu (22 Jan), dua hari selepas Presiden Donald Trump menandatangani perintah eksekutif mengenai imigresen.

Pasukan tambahan itu akan menyertai kira-kira 2,200 yang bertugas secara aktif dan beribu-ribu askar Pengawal Negara sudahpun berada di kawasan sempadan.

Semasa penggal pertamanya, Encik Trump mengarahkan 5,200 askar untuk membantu mengawal sempadan dengan Mexico. Mantan Presiden Joe Biden juga mengerahkan tentera ke sempadan tersebut.

"Ini bermula daripada tindakan (Trump) hari pertama... untuk mengarahkan Jabatan Pertahanan menjadikan keselamatan negara sebagai misi teras agensi itu," kata jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt kepada para wartawan.

Seorang lagi pegawai yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan berkata terdapat perbincangan tidak rasmi mengenai pengerahan seramai 10,000 askar dari semasa ke semasa.

Sungguhpun demikian, pegawai itu berkata, bilangan askar akan bergantung kepada beberapa faktor, termasuk kesan ke atas kesediaan tentera dan apa yang diminta oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Pegawai itu menambah bahawa pesawat tentera Amerika juga akan digunakan untuk menghantar pulang pendatang, tetapi ia masih belum diluluskan.

Encik Trump pada hari pertama memegang jawatan presiden telah mengisytiharkan pendatang haram sebagai kecemasan negara dan beliau menugaskan tentera untuk mengawal keselamatan sempadan, mengeluarkan larangan meluas ke atas pemohon suaka, dan mengambil langkah untuk menyekat kerakyatan bagi kanak-kanak yang dilahirkan di Amerika.

Perintah eksekutifnya pada 20 Jan mengarahkan Pentagon mengerahkan seberapa ramai askar yang diperlukan untuk mendapatkan "kawalan operasi sepenuhnya di sempadan bahagian selatan Amerika Syarikat".

"Dalam tempoh 90 hari, ketua Jabatan Pertahanan dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri perlu menyarankan sama ada tindakan tambahan, termasuk menggunakan Akta Pemberontakan 1807, perlu dikuatkuasakan," katanya.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita