Skip to main content

Dunia

Tengku Zafrul serah kepada PM Anwar soal jawatan menteri, mahu fokus ibadah haji

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berhubung kedudukannya dalam Kabinet.

Anggaran Waktu Membaca:
Tengku Zafrul serah kepada PM Anwar soal jawatan menteri, mahu fokus ibadah haji

Tengku Zafrul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang sebelum berlepas ke Tanah Suci, pada 31 Mei 2025. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berhubung kedudukannya dalam Kabinet.

Ketika ditemui wartawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang sebelum berlepas ke Tanah Suci, pada Sabtu (31 Mei), Tengku Zafrul memaklumkan bahawa buat masa ini, beliau mahu memberi tumpuan kepada ibadah hajinya, lapor BH Online.

"Saya tidak ada komen. Saya ingin memberi fokus kepada (ibadah) haji bersama keluarga saya.

"Saya serahkan semua (berhubung kedudukan dalam Kabinet) kepada Perdana Menteri," kata beliau.

Pada Jumaat (30 Mei), Tengku Zafrul mengesahkan beliau meletak jawatannya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta ahli UMNO, dengan surat peletakan jawatan itu sudah dihantar kepada pimpinan parti, lapor BH Online.

Menurut BH Online lagi, beliau juga dilapor mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadlian Rakyat (PKR), kepada Encik Anwar yang juga merupakan Presiden PKR dan Setiausaha Agung parti itu, Dr Fuziah Salleh.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, kemudiannya dilaporkan menggesa Tengku Zafrul untuk melepaskan jawatannya sebagai menteri.

Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi pula pada Sabtu dilaporkan berharap Kerajaan Perpaduan akan memberi satu jawatan menteri kepada UMNO. Ini adalah untuk mencukupkan kuota tujuh menteri yang diperuntukkan buat parti berkenaan.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menegaskan tindakan beliau keluar daripada UMNO dan mahu menyertai PKR, adalah pilihan sendiri dan bukan dipaksa oleh mana-mana pihak, lapor BH Online.

"Saya amat menghargai mereka yang memahami hak saya sebagai individu dan dalam memilih hala tuju politik saya.

"Terima kasih juga saya nak ucapkan sekali lagi kepada Presiden UMNO, rakan dan ahli UMNO yang banyak membantu saya, memberi sokongan serta dorongan sepanjang saya aktif dalam UMNO.

"Buat masa ini, saya mohon kepada semua untuk memberi saya ruang memfokus kepada ibadah haji, dan saya mohon doakan supaya segala urusan saya dan isteri serta keluarga saya dipermudahkan di sana," kata Tengku Zafrul.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita