Skip to main content

Dunia

Tengku Zafrul letak jawatan UMNO untuk sertai PKR

Anggaran Waktu Membaca:
Tengku Zafrul letak jawatan UMNO untuk sertai PKR

Tengku Zafrul (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 30 May 2025 10:44PM Dikemas Kini : 30 May 2025 10:46PM
KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO.

Dalam kenyataannya di Facebook, beliau berkata surat peletakan jawatan itu dihantar kepada pucuk pimpinan UMNO hari ini (30 Mei).

Pada masa yang sama, Tengku Zafrul berkata beliau sudah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Presiden parti itu Encik Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh. 

“Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat,” katanya.

Tengku Zafrul menerusi surat yang dihantar kepada pimpinan UMNO, menyatakan hasrat untuk meletak jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian.

“Keputusan ini bukan sebuah keputusan yang mudah. Sebelum membuat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan dari sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk dari Yang Amat Berhormat Presiden (Dr Ahmad Zahid Hamidi) sendiri.

“Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai sejak tahun 1997 lagi,” jelasnya.

Tengku Zafrul turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan dorongan kepadanya ketika bersama UMNO.

“Jasa anda tak mungkin akan terbalas dan akan saya kenang sampai bila-bila. Terima kasih,” tambah Tengku Zafrul.

ADAKAH TENGKU ZAFRUL AKAN KEHILANGAN JAWATAN MENTERI?

Berdasarkan Akta Anti Lompat Parti Malaysia, jika seorang Ahli Dewan Rakyat yang dipilih melalui pilihan raya umum menukar parti politik, kerusinya akan dikosongkan secara automatik, dan Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan untuk mengisi kekosongan tersebut.

Namun, Tengku Zafrul tidak mewakili mana-mana kawasan parlimen kerana beliau dilantik sebagai Senator dan bukan melalui pilihan raya umum.

Maka itu, beliau besar kemungkinan akan mengekalkan jawatan menteri yang dipegangnya sekarang.

PM ANWAR BELUM TIMBANG ROMBAKAN KABINET

Awal dari itu, dua menteri daripada PKR, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, meletak jawatan parti dalam tempoh seminggu lalu. Ini bermakna dua PRK mungkin diadakan di Malaysia dalam masa terdekat bagi mengisi kerusi yang disandang kedua-dua menteri tersebut.

Encik Rafizi adalah Ahli Parlimen Pandan di Selangor manakala Encik Nik Nazmi pula memegang kerusi Parlimen Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Semalam (29 Mei), PM Anwar berkata beliau masih belum memikirkan untuk melaksanakan rombakan Kabinet menyusuli peletakan jawatan Encik Rafizi dan Encik Nik Nazmi.

Beliau berkata secara prinsipnya kedua-dua menteri berkenaan sedang bercuti dan masih belum boleh digantikan.

Pada Rabu (28 Mei), Encik Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengumumkan keputusan untuk meletak jawatan Kabinet berkuat kuasa 17 Jun ini diikuti Ahli Parlimen Setiawangsa yang mengambil langkah sama berkuat kuasa 4 Julai.

Keputusan berkenaan menyusuli kegagalan mereka mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden semasa Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025-2028 minggu lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam memaklumkan bahawa Encik Anwar sudah menerima surat permohonan cuti serta pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi dan Nik Nazmi.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa Encik Anwar bersetuju meluluskan permohonan cuti mereka dan sebarang keputusan lanjut akan dimaklumkan kemudian. 
Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita