Skip to main content

Dunia

Tengku Zafrul beri keterangan kes rasuah libatkan mantan PM Muhyiddin

Anggaran Waktu Membaca:
Tengku Zafrul beri keterangan kes rasuah libatkan mantan PM Muhyiddin

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 06 Jul 2026 09:22PM Dikemas Kini : 06 Jul 2026 09:23PM
KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Kewangan Malaysia Zafrul Abdul Aziz memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin (6 Jul).

Tengku Zafrul, 53 tahun, yang merupakan saksi pendakwaan ke-11 tiba di kompleks mahkamah pada pukul 8.30 pagi.

Tengku Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Encik Muhyiddin Yassin mengeluarkan surat mencadangkan pelantikan 54 kontraktor bagi melaksanakan 54 projek di bawah Program Jana Wibawa secara rundingan terus. 

Tengku Zafrul berkata surat bertajuk Cadangan Pelantikan 54 Kontraktor Pelaksana Bagi Pelaksanaan 54 Projek Di Bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) Secara Rundingan Terus (Reka & Bina) itu bertarikh 13 November 2020, iaitu pada hari yang sama Memorandum Jemaah Menteri Pelan Tindakan Perolehan Kerajaan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri. 

Tengku Zafrul, 53 tahun, berkata berdasarkan minit itu, lima syarikat berkenaan ialah MZ Hakujaya Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Fastcoll Corporation Sdn Bhd, Permata Rebana Sdn Bhd dan JM Letrik Sdn Bhd.

Saksi pendakwaan ke-11 berkata beliau selaku Menteri Kewangan menganggap minit itu adalah satu arahan kepada beliau memandangkan Muhyiddin adalah Perdana Menteri pada ketika itu.

Tengku Zafrul berkata Encik Muhyiddin juga tidak pernah memaklumkan bahawa beliau dan Bersatu ada menerima sumbangan daripada syarikat-syarikat yang disenaraikan.

Beliau berkata setelah penilaian dibuat hanya syarikat melepasi penilaian oleh Jawatankuasa Penilaian Kontraktor di Kementerian Kewangan sahaja yang layak untuk menyertai tender prakelayakan di JKR.

Katanya setelah pihak JKR selesai membuat tender prakelayakan terhadap syarikat-syarikat, JKR akan membuat permohonan semula kepada Kementerian Kewangan untuk dimuktamadkan pelantikan kepada syarikat yang memenangi tender dibuat.

Tengku Zafrul berkata syarikat Nepturis Sdn Bhd dianugerahkan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor semasa proses perolehan tender prakelayakan dijalankan oleh pihak JKR.

Saksi itu berkata beliau tidak pernah mendapat arahan daripada Muhyiddin untuk membatalkan penganugerahan projek tersebut kepada syarikat Nepturis Sdn. Bhd.

Encik Muhyiddin, 79 tahun, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta (S$71.42 juta) bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita