Tengku Mahkota Johor berhak kritik kerajaan 'asal tidak langgar undang-undang': Mahathir
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berpendapat Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhak untuk bercakap atau memberi kritikan terhadap kerajaan.

Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim. (Gambar fail: Manan Vatsyayana/Hani Amin/AFP)
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berpendapat Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhak untuk bercakap atau memberi kritikan terhadap kerajaan.
Beliau berkata Tunku Ismail merupakan warga Malaysia dan tiada apa yang boleh menghalangnya daripada menyuarakan pendapat.
"Dia boleh bercakap apa jua sebagai orang biasa, boleh kritik terhadap kerajaan asalkan tidak melanggar undang-undang. Jika dia membuat kenyataan yang dianggap hasutan, kita akan mengambil tindakan terhadap beliau.
"Beliau tidak mengatasi undang-undang. Sebenarnya tiada sesiapa di Malaysia yang mengatasi undang-undang. Pilihan di tangan beliau, jika beliau mahu berpolitik beliau boleh tetapi tiada yang dapat menghalang rakyat Malaysia menyuarakan pendapat," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen pada Selasa (9 Apr).
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Tunku Ismail yang kerap memberikan kritikan, yang secara tidak langsung ditujukan kepada Putrajaya.
Sebagai respons, Tunku Ismail menulis di Twitter: “If I have to go down kerana menegakkan Perlembagaan/Constitution, Raja-Raja Melayu, dan Islam.
“Dengan apa-apa cara pun. Anda tahu di mana hendak cari saya.
“Macam Rakyat biasa saya berhak tanya soalan dan beri pendapat. I’m all yours. Habiskan apa yang anda mulakan,” kata Tunku Ismail lagi.
Sila. If i have to go down kerana mempertegakkan Perlembagaan/Constitution, Raja Raja Malayu, dan Islam. By all means. You know where to find me. Macam Rakyat biasa saya berhak tanya Soalan dan beri pendapat. I’m all yours. Finish what you start. https://t.co/07DEow5gpK
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) April 9, 2019
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.