Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tender bagi projek besar di M'sia perlu dianugerah berdasarkan keupayaan, rekod prestasi syarikat, tegas PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
Tender bagi projek besar di M'sia perlu dianugerah berdasarkan keupayaan, rekod prestasi syarikat, tegas PM Anwar

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berucap di Dewan Parlimen di Kuala Lumpur pada 14 Mac 2023. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Rabu (15 Mac) menegaskan bahawa tender bagi semua projek-projek besar perlu dianugerahkan kepada sesebuah syarikat berdasarkan kepada keupayaan dan rekod prestasi syarikat berkenaan semata-mata.

Beliau berkata bahawa ia merupakan prinsip-prinsip yang menjadi panduan dalam menawarkan tender bagi projek-projek besar dalam negara.

“Dalam mesyuarat dengan jawatankuasa tender yang membuat keputusan berhubung projek-projek besar hari ini, saya beritahu mereka bahawa nama syarikat-syarikat berkenaan tidak seharusnya didedahkan.

“Namakan saja ia syarikat A, B, C. Kita menetapkan bahawa keputusan perlu dibuat berdasarkan kepada kebolehan, rekod prestasi dan keupayaan kewangan,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Bersempena Ulang Tahun ke 50 Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) pada Rabu malam.

Encik Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sekiranya ia melibatkan tender bagi projek-projek seperti Jana Wibawa, ia seharusnya diberikan kepada syarikat bumiputera menerusi proses pemilihan, namun proses itu juga perlu telus.

Encik Anwar berkata penganugerahan tender yang telus adalah penting bagi membanteras rasuah dalam negara yang dilabelnya sebagai “endemik”.

“Rasuah adalah endemik, sekiranya bukan sistematik dalam negara ini. Perlukan keberanian dan keazaman untuk berubah,” katanya.

Sementara itu, Encik Anwar berkata isu yang membelenggu sektor perumahan dalam negara boleh diselesaikan dengan mengubah proses yang lapuk, memacu, dan memudahkan prosesnya.

Beliau berkata masih ada ruang untuk penambahbaikan bagi peraturan-peraturan dalam negara serta kadar kepantasan kelulusan yang diperlukan (oleh pemaju).

“Kita telah berbincang dengan semua Menteri Besar, agar Majlis Perbandaran di negeri-negeri dapat membantu dan menyegerakan proses-prosesnya,” katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan