Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tempoh pengecualian bayaran tol di Koswe, Linkedua tamat esok

Anggaran Waktu Membaca:
Tempoh pengecualian bayaran tol di Koswe, Linkedua tamat esok

Koswe tatkala waktu senja. (Gambar: iStock)

KUALA LUMPUR: Pengecualian bayaran tol selama tujuh hari di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Linkedua) di Johor sempena pembukaan semula laluan darat Malaysia-Singapura bermula Jumaat (1 Apr) akan tamat esok (7 Apr). 

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan pada Rabu (6 Apr) memaklumkan operasi kutipan tol akan dilaksanakan seperti biasa mulai Jumaat ini (8 Apr) dan pengguna dinasihatkan supaya memastikan kad Touch 'n Go serta e-Wallet Touch 'n Go mereka aktif dan mempunyai baki mencukupi bagi menikmati perjalanan yang lancar.

“Pelanggan lebuh raya yang menggunakan RFID (tag Identifikasi Frekuensi Radio) untuk sistem VEP (Permit Masuk Kenderaan) turut boleh mula menggunakan sistem tersebut di lorong RFID di Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang,” menurut kenyataan itu. 

Pada 30 Mac lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberikan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari melibatkan semua jenis kenderaan di sempadan Malaysia-Singapura sempena pembukaan semula laluan darat kedua-dua negara bermula 1 April. 

Pengecualian itu membabitkan plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Linkedua).

Menurut kenyataan itu, bagi pemandu Singapura yang bercadang untuk menambah nilai kad Touch 'n Go di Johor, mereka boleh berbuat demikian di lapan pusat tambah nilai di lebuh raya Linkedua selain pusat tambah nilai di lokasi-lokasi sekitar Tambak Johor.

“Secara amnya, stesen minyak dan kedai serbaneka 24 jam turut menyediakan perkhidmatan tambah nilai kad Touch 'n Go. Sebagai tambahan, urusan tambah nilai turut boleh dilakukan di kiosk layan diri di plaza tol dan kawasan rehat yang terpilih.

“Pelanggan lebuh raya juga boleh merancang perjalanan mereka apabila memuat turun aplikasi PLUS yang boleh menghubungkan pelanggan terus ke talian PLUSLine 1800 88 0000 sekiranya berlaku kecemasan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, kenyataan itu turut memaklumkan terdapat lebih 120 anggota PLUSRonda ditempatkan di jajaran lebuh raya di Johor bagi memberi bantuan kepada pengguna yang memerlukan.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan