Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tempoh pelepasan lebih singkat di CIQ Johor, kata Menteri Besar Onn Hafiz

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Selepas beberapa siri lawatan dan proses menambah baik perkhidmatan di dua pintu masuk negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Tambak Johor, pelawat dan rakyat Malaysia yang berulang alik kini boleh mengharapkan waktu pelepasan yang lebih singkat di sempadan.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi memaklumkan, proses terbabit di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah membolehkan waktu perjalanan mereka mengambil masa sekitar 30 minit sahaja.

Beliau menyifatkan ia sebagai satu perkembangan baik di dua pintu masuk utama negara di Johor itu.

"Setiap pagi seawal jam 4.00 pagi, mereka (pekerja Malaysia di Singapura) sudah melalui CIQ, yang sebelum ini mengambil masa satu jam untuk ke tempat kerja tetapi saya lihat sekarang perjalanan mereka dapat dipendekkan iaitu 30 minit.

"Alhamdulilllah, kita sedang menangani isu kesesakan dan ia menandakan salah satu usaha yang memperlihatkan kemajuan, saya mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan jabatan yang terlibat dalam isu perhubungan dua negara ini.

"Tambak Johor menjadi antara jambatan penghubung tersibuk di dunia dengan anggaran berpuluh ribu kenderaan akan melalui jalan ini seawal jam 4 pagi hingga lewat malam, setiap hari," katanya, lapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Perniagaan Johor-Korea 2023 yang diadakan di sebuah hotel, pada Rabu (17 Mei).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han; Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung-bae serta 60 delegasi Korea Selatan terdiri daripada komuniti usahawan.

Jelas Encik Onn Hafiz, selain masalah kesesakan di pintu masuk CIQ, pihaknya juga komited untuk menyelesaikan beberapa isu lain termasuk masalah jalan berlubang dan jaringan internet.

"Kerajaan negeri juga turut memberi tumpuan kepada usaha membaik pulih jalan raya berlubang di negeri ini, serta jaringan internet, kita usaha atasi selewat-lewatnya tahun depan.

"Pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri sedang bekerjasama dalam memastikan perkara itu terlaksana selari dengan inisiatif Johor Maju 2030.

"Baru-baru ini, saya semakin dikenali ramai bukan disebabkan rupa yang 'handsome' tetapi kerana tular di media sosial dalam usaha menyelesaikan kesesakan di BSI dan KSAB," katanya lagi.

Sejak beberapa bulan lalu, Encik Onn Hafiz dilihat secara agresif hampir setiap hari melakukan lawatan kerja sama ada secara mengejut atau bersama agensi berkaitan ke CIQ di BSI dan juga KSAB.

Tindakan ADUN Machap itu bagi memastikan proses merentas sempadan antara kedua-dua negara terlibat lancar.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan