Skip to main content

Dunia

Tempoh lima tahun berakhir 2019 catat suhu rekod paling panas

Satu laporan membimbangkan yang diterbitkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ahad (22 Sep) menyatakan dunia semakin ketinggalan dalam usahanya mengelakkan bencana iklim kerana pemanasan dunia terus meningkat, dengan tempoh lima tahun yang berakhir pada 2019 mencatat suhu paling panas.

Anggaran Waktu Membaca:
Tempoh lima tahun berakhir 2019 catat suhu rekod paling panas

Gambar hiasan. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 23 Sep 2019 02:22PM Dikemas Kini : 23 Sep 2019 02:24PM

PBB: Satu laporan membimbangkan yang diterbitkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ahad (22 Sep) menyatakan dunia semakin ketinggalan dalam usahanya mengelakkan bencana iklim kerana pemanasan dunia terus meningkat, dengan tempoh lima tahun yang berakhir pada 2019 mencatat suhu paling panas.

Laporan tersebut diterbitkan menjelang sidang kemuncak iklim utama PBB pada Isnin yang akan dihadiri oleh lebih daripada 60 pemimpin dunia, sedang Setiausaha Agung Antonio Guterres menggesa negara-negara untuk mempertingkatkan sasaran pengurangan gas rumah hijau mereka.

Suhu purata global antara 2015-2019 dijangka mencatat rekod sebagai tempoh lima tahun paling panas, menurut laporan yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kaji Cuaca Dunia.

Empat tahun yang lalu sudah pun mencatat suhu paling panas sejak rekod bermula pada tahun 1850.

Encik Guterres berkata minggu lalu dunia sudah "ketinggalan" dalam usaha menangani perubahan iklim, dan laporan itu menunjukkan jurang semakin luas antara apa yang perlu dilakukan dengan apa yang sedang berlaku.

Tahap pengeluaran karbon dioksida tidak merosot malah meningkat dua peratus pada 2018, mencatat jumlah rekod 37 bilion tan metrik.

Di bawah Perjanjian Paris 2015, negara-negara membentangkan sasaran mereka untuk mengurangkan pelepasan gas pencemaran bagi mengekang kenaikan suhu jangka panjang di bawah dua darjah Celsius atau secara ideal, 1.5 darjah Celsius melebihi tahap pra-perindustrian.

Namun laporan itu mendapati, sekalipun semua negara mencapai matlamat yang mereka sasarkan sendiri, suhu dunia akan meningkat antara 2.9 darjah Celsius dengan 3.4 darjah Celsius.

TANDA-TANDA MEMBIMBANGKAN

Laporan tersebut turut menunjukkan paras ais laut di Arctic pada musim panas berkurangan pada kadar 12 peratus sedekad sejak 40 tahun yang lalu.

Kenaikan paras laut juga semakin pantas akibat proses pengasidan.

Laporan itu turut mendapati bahawa gelombang panas adalah ancaman cuaca paling dahsyat dalam tempoh 2015-19, yang menjejas semua benua dan mencatat rekod suhu tertinggi baru di negara-negara.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita