Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tempoh kempen PRN M'sia mula secara rasmi esok

Anggaran Waktu Membaca:
Tempoh kempen PRN M'sia mula secara rasmi esok

Bendera-bendera parti politik Pejuang, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dipasang berderet di sebatang jalan raya di Pulau Pinang. (Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)

SINGAPURA: Tempoh berkempen di enam negeri Malaysia akan bermula esok selepas para calon memfailkan borang pencalonan mereka.

Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, terengganu dan Kelantan.

Para pengamat berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) itu adalah satu ujian sokongan bagi Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mentelah lagi, di bawah Kerajaan Perpaduan gabungan PM Anwar Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan seteru lama Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah.

KEMPEN HANGAT DIJANGKAKAN

Dengan tamatnya Hari Penamaan Calon esok nanti, lebih 9.7 juta rakyat Malaysia dari enam negeri tersebut bakal keluar mengundi pada 12 Ogos.

Meskipun keputusan enam PRN itu tidak ada kesan langsung terhadap kerajaan persekutuan, ia masih satu detik penting kerana diadakan hanya sembilan bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

PRN tersebut juga dilihat sebagai satu pungutan suara kecil ke atas keutuhan Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Bower Group Asia Adib Zalkapli berkata: "Ia adalah ujian pertama Kerajaan Perpaduan atau ujian pertama kerjasama PH-BN di Semenanjung. Ia akan jadi satu cabaran bagi kedua-dua pihak untuk meyakinkan para penyokong mereka bahawa kerjasama itu adalah cara terbaik untuk maju ke hadapan."

Kerajaan Perpaduan akan mempertahankan negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala pihak pembangkang Perikatan Nasional (PN) mempertahankan negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

CABARAN LEBIH BESAR BUAT PH-BN; EKONOMI NEGARA JADI AGENDA

Para pengamat menambah PRN itu adalah cabaran lebih besar bagi Kerajaan Perpaduan yang perlu menang di negeri sendiri dengan mudah.

Ini kerana ia menandakan satu kejayaan memalapkan fenomena 'gelombang hijau' iaitu gambaran dikaitkan dengan pengaruh PN yang semakin meluas pasca PRU15.

Encik Adib menambah: "Cabaran bagi Kerajaan Perpaduan adalah tanda-tanda kejayaan tidak semudah tanda kejayaan PN. Bagi PN, mereka hanya perlu menang beberapa lagi kerusi Melayu.

"Jadi jika mereka berjaya menang beberapa lagi kerusi Melayu di Selangor dan Pulau Pinang, ia sudah cukup untuk PN memberitahu para pengundi bahawa mereka sedang dalam perjalanan ke Putrajaya."

Prestasi ekonomi Malaysia juga bakal menjadi agenda utama dalam PRN tersebut.

Kerajaan Perpaduan menyatakan pihaknya berjaya dalam menangani masalah pengangguran serta menarik lebih banyak pelaburan asing.

Namun, PN membidas bahawa kos sara hidup yang meningkat sedang menjejas rakyat.

Para pengamat menekankan bahawa parti-parti politik perlu mencari naratif sesuai terhadap isu-isu itu bagi menawan golongan pengundi yang masih belum pasti siapa yang akan menerima undi mereka.

Pengarah Strategi KRA Group Amir Fareed Rahim berkata: "Dengan tekanan inflasi dan isu-isu berkaitan kos sara hidup masih dialami, perlu bagi PH-BN ada naratif yang meyakinkan khususnya dari segi menggariskan visi ekonomi negara.

"Agak menarik untuk melihat naratif kempen nanti dibentuk bagi menarik para pengundi yang masih tidak tahu untuk memilih pihak yang mana."
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan