Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tempat Perlindungan Bayi, tempat selamat bagi bayi yang tidak diingini

Saban hari banyak kes pembuangan bayi dilaporkan, sama ada bayi itu masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Tempat Perlindungan Bayi, tempat selamat bagi bayi yang tidak diingini

(Gambar hiasan: Luma Pimental/Unsplash)

Diterbitkan : 06 Jun 2019 11:14PM Dikemas Kini : 06 Jun 2019 11:16PM

KUCHING: Saban hari banyak kes pembuangan bayi dilaporkan, sama ada bayi itu masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Berdasarkan laporan akhbar, 577 kes pembuangan bayi dan janin dircatatkan antara Januari 2014 hingga Disember 2018.

Negeri Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 135 kes dalam tempoh lima tahun itu diikuti Sabah (67 kes), Johor dan Kuala Lumpur (62 kes), Kedah (42 kes), Perak (35 kes) dan Pahang (33 kes).

Pengurus Besar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Kuching, Cik Nurhazimah Mahat berkata masalah sosial dalam kalangan masyarakat adalah masalah yang sukar untuk dibendung.

Justeru, KPJ terpanggil untuk menyediakan tempat Perlindungan Bayi bagi membenarkan ibu yang melahirkan anak luar nikah meletakkan bayi mereka di tempat yang selamat sekiranya mereka tidak menginginkan bayi itu.

Tempat Perlindungan Bayi itu adalah hasil usahasama antara pihak KPJ, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Hospital kerajaan. Setakat ini, 10 buah tempat Perlindungan Bayi KPJ sudah diwujudkan di seluruh Malaysia.

“Kita sedih apabila ada individu yang mengambil jalan pintas dengan membuang bayi di tempat yang tidak sepatutnya seperti di tong sampah dan tempat kumbahan. Di manakah sifat keibuan mereka,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Di Kuching, sejak Perlindung Bayi itu dibuka pada tahun 2017, pihak KPJ sudah merekodkan tiga kes bayi yang ditinggalkan di tempat perlindung.

Namun, seorang daripada bayi itu sudah meninggal dunia pada saat ia diletakkan di dalam perlindung itu, kata Cik Nurhazimah.

“Ketika pihak kami mahu mengambil bayi itu, ia sudah tidak bernyawa di mana badannya kelihatan kebiru-biruan. Bagaimanapun, pihak KPJ tetap menjalankan prosedur pemeriksaan sebelum mayat bayi itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Jelas Cik Nurhazimah, identiti ibu yang meninggalkan bayi itu juga tidak akan diselidik supaya mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Mengenai prosedur pengurusan bayi yang diletakkan di tempat perlindungan itu, Cik Nurhazimah berkata, pada saat bayi itu berada di tangan pihaknya, segala pemeriksaan normal bagi bayi yang baru lahir akan dijalankan oleh para pegawai perubatan.

“Jika bayi itu memerlukan rawatan susulan, bayi itu akan diserahkan kepada pakar kanak-kanak untuk dipantau rapi. Kemudian KPJ akan memaklumkan perkara berkenaan kepada Polis dan JKM untuk prosedur pengurusan seterusnya,” katanya.

Setelah pihak JKM mendapat perintah mahkamah, bayi berkenaan akan diserahkan di bawah penjagaan JKM, sehinggalah bayi itu diambil menjadi anak angkat.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan