Skip to main content

Dunia

Tembakan di Bondi: Polis dedah keluarga suspek di India tidak tahu-menahu tentang kegiatan radikalnya

Anggaran Waktu Membaca:
Tembakan di Bondi: Polis dedah keluarga suspek di India tidak tahu-menahu tentang kegiatan radikalnya
Seorang wanita memberi penghormatan di Pantai Bondi bagi mengenang mangsa kejadian tembakan beramai-ramai yang menyasarkan sambutan Hanukkah, pada 16 Disember 2025. (Gambar: Reuters/Flavio Brancaleone)
Diterbitkan : 16 Dec 2025 11:24PM
HYDERABAD: Polis India pada Selasa (16 Dis) berkata bahawa lelaki bersenjata yang maut dalam insiden tembakan di Pantai Bondi, Australia, Sajid Akram, berasal dari bandar Hyderabad di selatan India, namun mempunyai hubungan yang terhad dengan keluarganya di India.

Serangan pada Ahad itu merupakan kejadian tembakan beramai-ramai paling dahsyat di Australia dalam hampir 30 tahun, dan sedang disiasat sebagai tindakan pengganasan yang menyasarkan masyarakat Yahudi.

Angka korban kini mencecah 16 orang, termasuk salah seorang lelaki bersenjata yang dikenal pasti oleh polis sebagai Sajid Akram, 50 tahun, yang ditembak mati oleh polis.

Anak lelakinya berusia 24 tahun, yang didakwa terlibat dalam tembakan itu dan dikenal pasti oleh media tempatan sebagai Naveed Akram, berada dalam keadaan tenat di hospital selepas ditembak.

“Ahli keluarga mereka menyatakan mereka tidak mengetahui sebarang kecenderungan atau kegiatan radikal beliau, mahupun keadaan yang membawa kepada proses radikalisasinya,” kata polis wilayah Telangana dalam satu kenyataan.

Hyderabad merupakan ibu kota bagi wilayah Telangana.

Polis Australia menyatakan bahawa kedua-dua lelaki itu telah melawat Filipina bulan lalu, dengan bapa itu menggunakan pasport India dan anaknya menggunakan pasport Australia.

Tujuan lawatan mereka masih disiasat, menurut pihak berkuasa, sambil menambah bahawa belum dapat dipastikan sama ada mereka mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas atau menerima latihan di negara tersebut.

Polis Telangana menyatakan faktor yang membawa kepada radikalisasi kedua-dua lelaki itu “nampaknya tidak ada sebarang kaitan dengan India mahupun pengaruh tempatan di Telangana”.

Dalam kenyataannya pada Selasa, polis Telangana menyatakan Sajid Akram sudah melawat India sebanyak enam kali, kebanyakannya atas urusan keluarga, sejak beliau berhijrah ke Australia pada 1998.

Dia tidak ada sebarang “rekod buruk” sebelum meninggalkan India, tambah kenyataan itu.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita