Skip to main content

Dunia

Temasek Holdings dijadikan contoh bagi rombakan dalam kementerian Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
Temasek Holdings dijadikan contoh bagi rombakan dalam kementerian Indonesia

Bakal Presiden Indonesia Prabowo Subianto. (Gambar: Maxim Shemetov / POOL / AFP)

Diterbitkan : 12 Oct 2024 11:33AM Dikemas Kini : 12 Oct 2024 05:55PM
JAKARTA: Bakal Presiden Indonesia Prabowo Subianto mendedahkan beliau merancang untuk mengubah struktur perjawatan Kementerian Badan Usaha Milik Negara (BUMN).

Langkah tersebut bertujuan meningkatkan lagi kecekapan kementerian tersebut dalam merangsang ekonomi negara.

Ia juga salah satu keutamaan pemerintah baharu yang akan mentadbir tidak lama lagi, kata wakil kumpulan di bawah kepimpinan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka yang bertanggungjawab atas ekonomi Indonesia, Laode Masihu.

Struktur perjawatan kementerian mahu khususnya diatur seperti Temasek Holdings agar ia lebih profesional dalam pengelolaan perusahaan milik negara.

"Kayu ukurnya banyak tetapi yang paling dekat serupa dengan Temasek Holdings," ulas Encik Laode kepada agensi berita Antara pada Jumaat (11 Okt).

Temasek Holdings adalah perusahaan milik Singapura yang menumpukan perhatian kepada pelaburan global. Ia ditubuhkan pada 1974 untuk mengelola aset dan pelaburan secara komersil.

Portfolio saham Temasek Holdings, melangkaui Singapura, di mana syarikat itu turut mengendalikan saham perusahaan-perusahaan di luar negara.

Di Indonesia misalnya, Temasek Holdings menjadi pemegang saham terbesar kedua di Telkomsel melalui Singapore Telecom Mobile TTE/Singtel.

Mengulas lebih lanjut, Encik Laode berkata, selain Temasek Holdings, Pasukan Ekonomi Encik Prabowo juga akan mencontohi apa yang dilakukan pemerintah China dalam pengurusan BUMN, menurut Kompas.

"Ada juga yang di China... sama juga mereka profesional dan fokus pada ekonomi. Bakal Presiden (Prabowo) punya pemikiran seperti itu. Jadi saya hanya merealisasikan dalam bentuk data, dan kemudian dalam bentuk-bentuk program," jelas Encik Laode.

Rombakan Kementerian BUMN itu menjadi salah satu program yang dirancang untuk mendorong keupayaan Indonesia mencapai pertumbuhan ekonomi hingga 8 peratus dalam tempoh 5 tahun akan datang, lapor agensi berita Kompas.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita