Temasek buka pejabat baharu di Paris, tingkatkan akses kepada peluang pelaburan dan bakat
Syarikat pelaburan negara Temasek akan mengembangkan kehadirannya di Eropah, dengan pejabat baharu di Paris dibuka untuk meningkatkan akses kepada peluang pelaburan dan bakat.
Portfolio pelaburan syarikat itu di Eropah dan negara-negara lain terus berkembang, sedang ia meraikan ulang tahun ke-50 tahun ini.
Pejabat Temasek di Paris adalah pejabat ketiganya di Eropah dan ke-13 di sembilan negara.
Bersama pejabat nya yang sedia ada di London dan Brussels, akan meningkatkan akses kepada peluang pelaburan dan kerjasama serta bakat di Eropah, Timur Tengah dan Afrika.
Portfolio Temasek di Eropah meningkat lima kali ganda berbanding 2011 dan ia kini bernilai S$47 bilion.
Antara pelaburannya di Eropah termasuk syarikat berbilang negara dari Perancis, Schneider Electric.
Majlis perasmiannya dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong, yang berada di Paris untuk satu lawatan rasmi.
Encik Wong berkata di sebalik keadaan yang mencabar sekarang, masih ada peluang yang perlu direbut di seluruh dunia terutama sekali di Eropah, Timur Tengah dan Eropah.
"Singapura terletak di Asia Tenggara. Kami berada di tengah-tengah kisah Asia yang dinamik.
"Nilai yang kami bawa ialah menjadi penghubung dan hab bagi Asia ke seluruh dunia dan bagi seluruh dunia ke Asia.
"Dan kami percaya peranan ini menjadi lebih penting lagi dalam dunia yang semakin berpecah belah. Dan ini sebabnya mengapa kami menggandakan usaha untuk memperdalamkan kerjasama dengan rakan-rakan kongsi seperti Perancis," kata Encik Wong.
Pengerusi Temasek Lim Boon Heng berkata pelaburan didorong oleh trend seperti pendigitalan dan kehidupan mampan.
"Eropah menerajui teknologi peralihan tenaga, lantas kami akan memberi tumpuan kepada peluang pelaburan yang selaras dengan trend itu.
"Ia sebahagian daripada komitmen kami untuk menyumbang kepada usaha memajukan lagi perjalanan ke arah sifar pelepasan karbon di seluruh dunia."
Sementara itu, Perancis menyatakan pelaburan itu akan membantunya mengekalkan daya tarikannya kepada perniagaan.
"Kami perlukan pelabur asing. Kami perlukan individu yang bermutu. Kami perlukan syarikat kukuh seperti anda.
"Kami perlukan individu yang kuat, berkemahiran dan berhemah seperti yang anda ada di Temasek," kata Menteri Ekonomi, Kewangan, Perindustrian dan Digital Perancis Bruno Le Maire.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.