Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Teksi, kereta sewa tanpa pemandu bakal diuji di Dubai

Anggaran Waktu Membaca:

DUBAI: Ibu kota Amiriah Arab Bersatu (UAE), Dubai, melambangkan kekayaan, kemajuan dan kecanggihan dunia masa kini.

Bangunan tertinggi dunia, kereta mewah di segenap pelusuk jalan, kehidupan mewah, hotel yang tarafnya ‘berbintang-bintang’, semuanya ada di sana.

Tak cukup dengan itu, Dubai kini mengumumkan rancangan untuk memulakan sesi percubaan bagi khidmat teksi dan kereta sewa privet tanpa pemandu.

Bukan lagi lima tahun, bukan juga pada 2030, tapi sebaliknya Dubai bakal melancarkan percubaan khidmat tersebut menjelang akhir tahun ini, menurut laporan Khaleej Times.

Menurut pihak berkuasa, percubaan termasuk pemetaan jalan perlu dilakukan untuk kenderaan Cruise - iaitu kenderaan yang akan digunakan dalam pelaksanaan terbaru itu - dan ia sebagai persediaan sebelum benar-benar melaksanakannya pada 2023.

Syarikat Cruise akan menawarkan khidmat teksi dan kereta sewa privet di Dubai, sekali gus menjadikan bandar itu sebagai bandar yang pertama untuk mengendalikan kenderaan tanpa pemandu milik Cruise di luar Amerika Syarikat.

Sebagai permulaan, hanya beberapa kenderaan tersebut akan digunakan pada 2023 dan jumlahnya akan ditambah sehingga mencecah 4,000 menjelang 2030.

Ketua Pengarah Penguasa Jalan Raya dan Pengangkutan Dubai, Mattar Mohammed Al Tayer berkata, perjanjian itu ditandatangani mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Sheikh Hamdan bin Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Putera Mahkota Dubai.

Al Tayer turut mengadakan pertemuan dengan delegasi dari Cruise Company yang diketuai oleh Anthony Gregory, naib presiden pembangunan pasaran Cruise, Amerika Syarikat.

Perbincangan itu meliputi pembekalan kenderaan, operasi, perkembangan terkini pengendalian kenderaan berkenaan di San Francisco dan juga pengeluaran kenderaan Cruise Origin.

“Inisiatif ini meningkatkan peranan Dubai sebagai perintis dalam pengangkutan pandu sendiri. Ia merupakan langkah penting ke arah merealisasikan Strategi Pengangkutan Bijak Pandu Sendiri Dubai,” katanya.

Teknologi terbaru itu pastinya akan merancakkan lagi sektor pengangkutan dan ekonomi di Dubai.

Delegasi dari Cruise sebelum ini melawat beberapa kawasan di Dubai untuk mengkaji lokasi terbaik bagi melancarkan khidmat tersebut berdasarkan beberapa standard teknikal dan permintaan pelanggan.

Sedang banyak negara masih terkesan dengan COVID-19, Dubai nampaknya mula mengorak langkah merencanakan pelbagai strategi untuk masa depan, memanfaatkan teknologi demi teknologi baru di dunia.

Maka itu, tidak mustahil jika kereta terbang pula akan menguasai ruang udara Dubai dalam masa beberapa tahun mendatang!

Sumber : Agensi berita/HA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan