Skip to main content

Dunia

Tekanan darah Najib berbahaya akibat tukar ubat

Anggaran Waktu Membaca:
Tekanan darah Najib berbahaya akibat tukar ubat

Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar fail: Mohd Rasfan/AFP)

KUALA LUMPUR: Tekanan darah Najib Razak dilapor berada pada tahap tinggi dan berbahaya menyusuli pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perut bekas perdana menteri itu.

Pegawai Khas Encik Najib, Muhamad Mukhlis Maghribi dalam satu kenyataan berkata, ujian kolonoskopi yang dijalani pada Sabtu (10 Sep) oleh Ahli Parlimen Pekan itu mendapati doktor menemui beberapa ulser baru di dalam perutnya.

Menyusuli keadaan tersebut, Encik Najib yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang memohon pemerhatian di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Permohonan itu, bagaimanapun, ditolak oleh pegawai perubatan yang merawatnya.

"Semalam, doktor di HKL membuat biopsi yang menyebabkan pendarahan dan beberapa ulser terpaksa dipotong untuk menghentikan pendarahan.

"Beliau memohon untuk pemerhatian di HKL tetapi telah dinafikan. Doktor melepaskan (discaj) Najib, menukar ubat-ubatannya daripada ubat biasa yang dimakannya selama bertahun-tahun dan menghantarnya pulang ke Kajang.

"Pagi ini, pemeriksaan oleh pembantu perubatan menunjukkan bahawa tekanan darah Najib adalah berbahaya akibat perubahan ubat yang diberikan.

"Ini menyebabkan Timbalan Pendakwa Raya memberitahu hakim (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) pagi ini bahawa keadaan kesihatan Najib teruk dan perlu dihantar ke hospital," kata Muhamad Mukhlis kepada Astro AWANI.

Jelas Muhamad Mukhlis, keadaan kesihatan yang dialami Encik Najib adalah masalah yang berulang sejak lebih 15 tahun lalu.

Katanya lagi, pada 2010, Encik Najib dimasukkan ke hospital selama beberapa hari kerana masalah kesihatan tersebut dan ia diketahui umum.

"Tahun lepas, beliau juga berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital swasta kira-kira seminggu, di mana beliau telah menjalani lima kali pemindahan darah bagi menggantikan darah yang hilang akibat pendarahan dalaman," tambahnya.

Sehubungan itu, Muhamad Mukhlis berkata, atas dasar kemanusiaan, keluarga Encik Najib merayu kepada pihak penjara, hospital dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk melakukan tindakan yang betul dan membenarkan Encik Najib diberikan rawatan serta pemerhatian perubatan yang sewajarnya.

Media tempatan turut melaporkan, Encik Najib yang hadir di Mahkamah Tinggi pada Isnin bagi prosiding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dirujuk ke Hospital Kajang jam 2.00 petang ini kerana mengalami masalah kesihatan.

Bekas Perdana Menteri itu akan dirujuk ke hospital tersebut ekoran ubat darah tinggi baru yang diambilnya menyebabkan kesan teruk.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Encik Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita