Skip to main content

Dunia

Tekad anak muda perjuang perniagaan batik ayah 'lumpuh' dek COVID-19 bawa kepada jenama sendiri

Anggaran Waktu Membaca:
Tekad anak muda perjuang perniagaan batik ayah 'lumpuh' dek COVID-19 bawa kepada jenama sendiri

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 09 Mar 2023 10:44PM Dikemas Kini : 09 Mar 2023 10:49PM

KUALA LUMPUR: Berniaga dalam talian boleh dikatakan menjadi penyambung kehidupan bagi banyak pihak ketika negara dilanda pandemik COVID-19 dan apabila kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inilah yang dilakukan oleh anak muda dari Kota Bharu, Kelantan, Nur Aina Balkhis Zumri, 22 tahun, untuk menyelamatkan perniagaan batik ayahnya yang diusahakan sejak empat dekad lalu.

Pandemik COVID-19 boleh dikatakan ‘melumpuhkan’ perniagaan batik milik bapanya, Zumri Hassan, 61 tahun, yang beroperasi di Wakaf Che Yeh kerana terpaksa dihentikan akibat pelaksanaan PKP.

Menurut gadis kecil molek, yang lebih mesra disapa sebagai Cik Aina, keadaan tiga tahun lalu sangat sukar kerana bapanya menyiapkan ratusan helai kaftan batik untuk dijual kepada orang ramai menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Abah saya adalah peniaga batik sejak tahun 1980-an secara kecil-kecilan dengan mengambil bekalan batik dari pembekal termasuk dari Indonesia.

s
Nur Aina Balkhis bersama bapanya Zumri Hassan. (Gambar: Bernama)


Perniagaan bapanya bagaimanapun terjejas teruk pada tahun pertama COVID-19 melanda Malaysia berikutan PKP, sehingga menyebabkan bekalan kaftan yang disediakan lebih awal untuk Aidilfitri tidak dapat dijual.

Tidak mahu melihat bapanya terus menanggung kerugian, anak jati Kota Bahru itu bertekad membantu menjual kaftan secara dalam talian apabila melihat laman sosial adalah platform terbaik untuk memasarkan produk tersebut.

“Ketika berfikir bagaimana saya boleh membantu abah, terdetik di hati saya untuk menjual secara langsung di Facebook apabila melihat medium tersebut digunakan ramai peniaga 'bundle' untuk menjual barangan mereka kerana berniaga secara fizikal waktu itu tidak dibenarkan.

“Jadi saya mula memberanikan diri menjual batik kaftan abah menerusi Facabook live setiap hari dan saya sendiri tidak sangka kaftan tersebut laris seperti pisang goreng dan habis dijual tidak sampai tiga bulan,’’ katanya.

Cik Aina menambah yang membuatkan beliau lebih teruja apabila pelanggan kaftan batik tidak terhad dari negeri kelahirannya, sebaliknya seluruh negara termasuk negara jiran, Singapura.

Setelah melihat kegigihan Cik Aina memasarkan kaftan, bapanya kemudian menyarankan Cik Aina turut mengendalikan perniagaan berkenaan.

Menyedari hakikat sukar mengekalkan legasi perniagaan tersebut, pemegang Diploma Sains dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah itu berkata dorongan kuat bapanya membuatkan beliau tidak ragu-ragu untuk memikul tanggungjawab berkenaan.

Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata selepas setahun mengendalikan perniagaan kaftan batik dengan kepercayaan bapanya, beliau kemudian memutuskan untuk memberi nafas baru dengan mempelbagaikan koleksi kaftan batik selain memasarkannya menggunakan label Aina Balkish.Co.

s
(Gambar: Bernama)


Melihat kepada trend kaftan terkini, Cik Aina membulatkan hati untuk menambah variasi kaftan batik mengikut konsep ‘siap untuk dipakai’ yang sesuai untuk dipakai secara santai mahupun formal.

Ini memandangkan imej kaftan atau baju kelawar yang diperbuat daripada fabrik kapas dengan potongan longgar dan ringkas disifatkan sangat selesa dan sememangnya menjadi pilihan wanita.

Meskipun masih mengekalkan fabrik kapas, kaftan batik Aina Balkhis.Co diberi sentuhan moden dan kotemporari dengan corak serta warna yang lebih menyerlah bagi menambat hati penggemar kaftan.

Menurut Cik Aina, kaftan batik bukan sekadar untuk dipakai di rumah malahan dengan fesyen kaftan terkini, ia boleh dipakai di majlis rasmi termasuk kenduri kahwin, jamuan malam, selain digayakan pada musim perayaan serta apabila ke pejabat.

Walaupun produk kaftan batik hanya dijual sepenuhnya secara dalam talian, namun ia tidak menghalang Cik Aina untuk memperluaskan pasaran kaftan tersebut kerana ia mempunyai peminatnya tersendiri.

Meskipun wujud persaingan daripada peniaga kaftan yang lain, Cik Aina tetap optimis dan berbangga dengan pencapaiannya menguruskan perniagaan kaftan batik apabila secara purata mampu menjual sebanyak 1,000 helai kaftan batik dalam masa sebulan menerusi platform media sosial.

Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita