AS tawar ganjaran AS$5 juta untuk maklumat warga SG terlibat penghantaran minyak Korea Utara

Gambar: FBI via AP
Dia dituduh oleh Jabatan Kehakiman AS sebagai orang tengah yang memudahkan penghantaran bahan api ke Korea Utara yang melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kwek Kee Seng, pemilik syarikat perkapalan Swanseas Port Services di Singapura, didakwa pada 2021 kerana mengatur penghantaran bahan api ke Korea Utara.
Pihak pendakwa mendakwa dia menggunakan syarikat dan dokumen palsu untuk menyembunyikan muslihat itu.
Para pegawai berkata syarikat itu telah membolehkan Korea Utara melaksanakan program nuklear.
Pemerintah AS merampas sebuah kapal tangki yang digunakan untuk penghantaran bahan api, M/T Courageous seberat 2,734 tan, menurut pendakwa raya.
Satu rakaman imej satelit menunjukkan kapal itu memindahkan minyak bernilai lebih AS$1.5 juta (S$2.1 juta) ke kapal Korea Utara, menurut pendakwa raya.
Kwek, 62 tahun, masih lolos meskipun waran tangkap sudah dikeluarkan.
Program Ganjaran Jabatan Negara AS menyatakan lokai Kwek tidak diketahui dan dia juga pernah dikesan berada di Korea Utara, Kemboja, Taiwan, Thailand, Cameroon serta di Saint Kitts dan Nevis, sebuah negara kecil di Caribbean.
Jabatan Negara AS pada Khamis (3 Nov) menawarkan sehingga AS$5 juta (S$7.1 juta) melalui program Ganjaran untuk Keadilan AS.
Pengumuman itu dibuat sedang keadaan semakin tegang di semenanjung Korea selepas Pyongyang pada Khamis (3 Nov) melancarkan sekurang-kurangnya enam peluru berpandu ke laut dan peluru berpandu balistik antara benua.

Pentadbiran Biden menyatakan sebagai tindak balas kepada serangan tersebut, AS bersedia untuk mengambil "semua langkah yang diperlukan" untuk memastikan keselamatan Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.