Skip to main content

Dunia

AS tawar AS$10 juta untuk kesan kumpulan penggodam DarkSide

Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran AS$10 juta (S$13.5 juta) kepada mana-mana individu yang berjaya mengesan pemimpin kumpulan penggodam Darkside, langkah terbaru pihak berkuasa dalam memerangi serangan peras ugut siber.

Anggaran Waktu Membaca:
AS tawar AS$10 juta untuk kesan kumpulan penggodam DarkSide

Gambar hiasan (Gambar: Duy Hoang/Unsplash)

Diterbitkan : 05 Nov 2021 12:00PM Dikemas Kini : 05 Nov 2021 12:11PM

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran AS$10 juta (S$13.5 juta) kepada mana-mana individu yang berjaya mengesan pemimpin kumpulan penggodam Darkside, langkah terbaru pihak berkuasa dalam memerangi serangan peras ugut siber.

Washington menuding jari ke arah kumpulan berpangkalan di Rusia bagi serangan online yang memaksa penutupan saluran paip minyak terbesar di timur Amerika Syarikat pada Mei lalu.

Serangan peras ugut siber membabitkan pencerobohan ke dalam rangkaian syarikat atau institusi dengan menyulitkan data dan kemudiannya menuntut wang tebusan, biasanya dibayar melalui mata wang kripto sebagai pertukaran bagi kunci digital untuk akses semula data.

"Dengan menawarkan ganjaran ini, Amerika Syarikat menunjukkan komitmennya untuk melindungi mangsa daripada serangan berbentuk peras ugut di seluruh dunia daripada eksploitasi oleh penjenayah siber," menurut kenyataan Jabatan Negara AS.

Washington juga menawarkan hadiah AS$5 juta (S$6.76 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penahanan atau sabitan di mana-mana negara individu yang cuba menyertai serangan dengan DarkSide.

Jenayah siber berkembang pesat, dengan data baru dikeluarkan pada Oktober menunjukkan pembayaran berkaitan peras ugut online berjumlah AS$590 juta (S$797 juta) dilaporkan kepada pihak berkuasa AS pada separuh pertama tahun ini.

Menurut Perbendaharaan AS, jumlah itu juga 42 peratus lebih tinggi daripada jumlah yang didedahkan institusi kewangan sepanjang 2020 dan berkemungkinan ia membabitkan kos berbilion dolar.

Selain berdepan tekanan membayar tebusan, syarikat dan institusi juga berusaha mengelakkan kemarahan pelanggan dan pihak berkuasa yang memberi amaran supaya tidak menyerahkan wang tunai kepada kumpulan itu.

Sumber : AFP/SU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita