Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Tauliah mengajar beberapa pendakwah 'selebriti' di Selangor ditarik balik

Beberapa nama penceramah terkenal yang lazim dengan gaya penyampaian 'garang' kini tidak lagi dibenarkan memberi kuliah agama di sekitar Selangor selepas tauliah mengajar mereka ditarik balik oleh majlis agama Islam negeri itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Tauliah mengajar beberapa pendakwah 'selebriti' di Selangor ditarik balik

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 07 Apr 2022 10:37PM Dikemas Kini : 07 Apr 2022 10:40PM

KUALA LUMPUR: Beberapa nama penceramah terkenal yang lazim dengan gaya penyampaian 'garang' kini tidak lagi dibenarkan memberi kuliah agama di sekitar Selangor selepas tauliah mengajar mereka ditarik balik oleh majlis agama Islam negeri itu.

Antara mereka yang terjejas ialah bekas calon PAS bagi DUN Kota Anggerik, Ahmad Dusuki Abd Rani, penceramah Nazmi Abdul Karim dan Syamsul Amri atau lebih mesra disapa sebagai Syamsul Debat, lapor Malaysiakini.

Awal dari itu, tular satu dokumen bertarikh 17 Mac 2022 yang dikatakan dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di media sosial, yang dalamnya terkandung kemas kini senarai nama penceramah yang ditarik semula tauliah untuk mengajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, yang namanya juga turut tersenarai, mengesahkan kesahihan dokumen itu ketika dihubungi Malaysiakini.

“Daripada maklumat yang kita terima, itu memang adalah satu dokumen rasmi yang saya boleh sahkan sebab kami juga telah dimaklumkan oleh exco agama Islam Selangor dalam kumpulan WhatsApp.

“Dan kalau kita tengok ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pun mereka tidak menafikannya,” katanya kepada Malaysiakini.

TERIMA DENGAN HATI TERBUKA

Encik Mohd Fakhrulrazi, yang aktif bergiat dalam sesi kuliah di masjid-masjid sebelum menceburi arena politik, mengakui berasa ‘ralat’ setelah tidak lagi memegang tauliah untuk mengajar.

Bagaimanapun, Encik Mohd Fakhrulrazi tidak berhasrat untuk mengemukakan sebarang bantahan dan menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka kerana sedar ia adalah untuk menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Tuanku menitahkan sendiri perkara tersebut dengan tujuan untuk memastikan masjid dan surau ini tidak dijadikan pentas politik dan tempat perpecahan.

“Maknanya, kita yakin Tuanku bertindak sedemikian untuk memelihara kesucian ummah dan ‘rumah Allah’ dan untuk pastikan umat Islam ini bersatu-padu.

“Dan bagi saya, sesiapa yang ingkar walaupun telah disenaraikan itu dia telah menderhaka kepada titah Tuanku,” tambahnya lagi.

Encik Mohd Fakhrulrazi menzahirkan harapan agar penguatkuasaan terhadap semua yang tersenarai dapat dilaksanakan untuk memastikan tiada yang berani melanggar keputusan tersebut, lapor Malaysiakini.

“Jangan dipolitikkan perkara ini dan jangan kata pihak JAIS nak menghalang usaha dakwah dan sebagainya kerana bagi saya, ini adalah suatu tindakan yang perlu dilaksanakan.

“Lebih-lebih lagi ketika mana kita tidak boleh nafikan masjid dan surau disalahgunakan untuk medan politik dan mengutip dana sebagai derma sehingga berlaku penyelewengan di situ,” katanya.

Malaysiakini gagal mendapatkan ulasan dari pihak Ahmad Dusuki apabila dihubungi, namun dapat dilihat melalui catatan di laman media sosial miliknya, penceramah tersebut mempunyai ketidakpuasan hati dengan situasi semasa.

“Kepada penjaga-penjaga dan pegawai agama, musim ini kekangan maksiat! Bukan sekat dakwah! Kalian sekat dakwah dan pendakwah, kalian akan berhadapan kesengsaraan di masa depan! Cubalah,” katanya melalui catatan di Facebook.

Penceramah Nazmi Abdul Karim apabila dihubungi Malaysiakini memilih untuk mengunci mulut dan sudah mendapatkan khidmat peguam.

Syamsul Amri ketika dihubungi Malaysiakini masih belum memberikan sebarang kenyataan.
 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan