Skip to main content

Dunia

Taufan Yagi ragut 226 nyawa di Vietnam

Anggaran Waktu Membaca:
HANOI: Angka korban akibat Taufan Yagi dan kejadian tanah runtuh serta banjir kilat yang dicetuskannya di Vietnam meningkat kepada 226 mangsa pada Khamis (12 Sep), dedah agensi bencana pemerintah, sedang tekanan banjir berkurangan di ibu negara Hanoi.

Vietnam masih terkesan daripada impak Taufan Yagi, ribut paling ganas melanda Asia tahun ini, yang membadai pantai timur laut Vietnam pada Sabtu lalu.

Lebih 100 orang masih hilang, manakala kira-kira 800 yang lain cedera, dedah agensi itu dalam laporannya.

Beberapa daerah di ibu negara Hanoi masih dinaiki air pada Khamis (12 Sep), tetapi agensi kaji cuaca menyatakan bahawa tekanan banjir sudah berkurangan, manakala banjir kilat dan tanah runtuh terus menjejaskan kawasan di seluruh bahagian utara Vietnam.

Bandar tersebut sebelum ini memindahkan beribu-ribu orang yang tinggal berhampiran Sungai Merah apabila paras air meningkat ke paras tertinggi selama 20 tahun.

"Terdapat banyak kesedihan di bandar ini dan terdapat banyak kebimbangan menjelang petang," kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kanak-Kanak Blue Dragon Skye Maconachie. "Ramai orang yang hampir tidak mempunyai apa-apa telah kehilangan segala-galanya."

Agensi ramalan cuaca menyatakan pada lewat Khamis bahawa paras air sungai itu sudah memuncak di Hanoi dan mula surut.

Utara Hanoi, tanah runtuh dan banjir teruk masih menjejaskan beberapa kawasan, lapor media pemerintah.

"Saya tidak pernah menyangka rumah saya akan ditenggelami banjir sedalam ini," kata Hoang Van Ty di luar rumahnya di wilayah Thai Nguyen.

"Pakaian dan perabot saya semuanya musnah. Banyak benda juga terapung-apung tetapi nasib baik saya menutup pintu supaya tiada apa-apa yang dihanyutkan."

55 ORANG HILANG DALAM BANJIR KILAT

Wilayah Thai Nguyen adalah rumah kepada kilang penghasilan telefon bijak terbesar Samsung Electronics di Vietnam. Air banjir juga telah surut di beberapa bahagian wilayah di mana usaha pembersihan kini sedang dijalankan sementara penduduk sedang membaiki TV dan motosikal mereka yang tenggelam.

"Saya hanya ada satu motosikal ini untuk pergi bekerja, tetapi ia dinaiki air jadi saya terpaksa membawanya ke sini untuk membaikinya," kata penduduk Thai Nguyen berusia 36 tahun di sebuah kedai membaiki motosikal. "Saya hanya boleh bekerja sebaik sahaja ia dibaiki."

Pembaiki Nguyen Van Truong berkata kedainya telah membaiki 60 motosikal sejak dua hari lalu, dengan 20 lagi masih menunggu giliran untuk dibaiki.

"Kami agak terharu, sangat terharu sebenarnya," kata Truong. "Saya berasa penat tetapi orang ramai memerlukan pengangkutan untuk memulihkan segala-galanya dengan lancar."

Di wilayah Lao Cai, pihak berkuasa pada Khamis bergegas mencari 55 orang yang hilang dalam banjir kilat yang melanda Nu Village pada Selasa, lapor Agensi Berita Vietnam.

Banjir kilat itu meragut nyawa 46 orang dan mencederakan 17 yang lain di kampung itu, lapor agensi tersebut sambil menambah 300 tentera dan 359 pegawai tempatan menyertai usaha mencari dan menyelamat.

Tanah runtuh dan banjir telah menenggelami lebih 200,000 hektar sawah padi dan tanaman kontan di seluruh utara Vietnam, kata agensi pengurusan bencana itu.

Taufan itu juga telah mengganggu bekalan elektrik dan menyebabkan bumbung beberapa kilang di wilayah Haiphong dan Quang Ninh tercabut, sekali gus menghentikan pengeluaran.

Beberapa negara, termasuk Australia, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat telah menghantar bantuan ke Vietnam.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita